Rabu, 11 September 2019 | 5:16pm
PRESIDEN Filipina, Rodrigo Duterte. - Foto Reuters

China tawar saham gas, jika Filipina abai tuntutan wilayah

MANILA: Presiden Filipina Rodrigo Duterte memaklumkan bahawa rakan sejawatannya dari China menawarkan kepentingan utama dalam usaha sama tenaga di Laut China Selatan, jika Manila menolak keputusan timbang tara antarabangsa yang menentang Beijing.

Duterte berkata, Presiden China, Xi Jinping memaklumkan dalam pertemuan mereka baru-baru ini bahawa, jika beliau tidak menghiraukan keputusan Mahkamah Timbang Tara Tetap pada 2016, China hanya akan menjadi pemegang kepentingan minoriti dalam satu perjanjian usaha sama.

Difahamkan usaha sama itu adalah untuk membangunkan simpanan gas di Terumbu Reed yang terletak dalam Zon Ekonomi Ekslusif (EEZ) Manila.

“Tolak tepi keputusan timbang tara. Abaikan tuntutan kamu. Mereka membenarkan semua mempunyai kaitan dengan syarikat China. Mereka mahu meneroka.

“Jika ada sesuatu, kita akan cukup bermurah hati untuk memberikan kamu kepentingan 60 peratus, mereka hanya akan mengambil 40 peratus. Ia janji Xi Jinping,” kata Duterte memetik Xi.

Jurucakap Kementerian Luar China, Hua Chunying tidak memberikan butiran lanjut dalam taklimat mengenai perbualan antara presiden terbabit, hari ini, namun mengesahkan Xi memaklumkan kerjasama akan membawa kemajuan lebih besar dalam memanfaatkan sumber laut.

Katanya, Duterte sebelum ini menyuarakan kesediaan mempercepatkan eksplorasi minyak dan gas serta kerjasama pembangunan antara China dan Filipina.

Berkenaan situasi spesifik, kumpulan kerja antara kedua-dua pihak patut berbincang secara lebih rapat, katanya.

Tribunal di The Hague itu memperjelaskan sempadan maritim dan hak kerajaan Filipina. Ia menyebabkan tuntutan China terhadap seluruh Laut China Selatan tidak sah. China juga tidak mengiktiraf keputusan itu. - Reuters

737 dibaca
Berita Harian X