Rabu, 11 September 2019 | 11:59am
Anggota bomba Indonesia memeriksa ladang yang terbakar di Kampar, wilayah Riau, Indonesia. Foto APA

Kualiti udara tidak sihat paksa sekolah di Pekanbaru ditutup

PEKANBARU: Asap tebal yang menyelubungi Pekanbaru, Riau akibat kebakaran hutan dan ladang memaksa kerajaan tempatan menutup sekolah di bandar ini.

Ketua pejabat komunikasi dan maklumat Pekanbaru, Mawardi, berkata Datuk Bandar Pekanbaru, Firdaus, turut mengarahkan pihak sekolah supaya menghentikan aktiviti luar darjah.

“Arahan itu dikeluarkan berdasarkan situasi semasa jerebu yang menyelubungi bandar Pekanbaru akibat kebakaran hutan dan ladang di beberapa wilayah,” katanya.

Agensi berita Antara yang memetik Mawardi melaporkan, beberapa institusi terbabit turut mencadangkan pihak berkuasa supaya menghentikan aktiviti di sekolah berikutan tahap kualiti udara yang semakin merosot.

Pada masa sama, pihak berkuasa turut meminta ibu bapa memastikan anak mereka memakai topeng muka ketika menghadiri aktiviti luar.

Asap tebal menyelubungi bandar Pekanbaru sejak awal Selasa lalu dan jarak penglihatan semakin merosot hingga 800 meter pada jam 8 pagi (waktu tempatan).

Stesen meteorologi Pekanbaru melaporkan sebanyak 448 tompok panas dikesan di seluruh pulau Sumatra, termasuk 154 tompok panas yang direkodkan di lapan daerah di Riau, hingga menjejaskan tahap kualiti udara di wilayah itu.

Penganalisis di stesen meteorologi Pekanbaru, Ahmad Agus Widodo, berkata sebanyak 60 tompok panas turut dikesan di daerah Pelalawan, Indragiri Hulu (42), Indragiri Hilir (34), Meranti (6), Kuansing (5), Bengkalis (3) dan masing-masing dua tompok panas di Kampar dan Rokan Hilir.

Sehingga kini, kualiti udara di beberapa bahagian di Riau direkodkan sebagai tidak sihat, termasuk di Rokan Hilir dan Pekanbaru. - Agensi

202 dibaca
Berita Harian X