Rabu, 11 September 2019 | 9:22am
Polis mengiringi kenderaan yang membawa mayat mendiang bekas Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe dari Singapora Casket menuju ke lapangan terbang. Foto AFP

Mayat mendiang Robert Mugabe diterbangkan ke Zimbabwe

SINGAPURA: Mayat bekas presiden, Robert Mugabe diterbangkan dari sini, hari ini, untuk dibawa pulang ke Zimbabwe, iaitu lima hari selepas beliau meninggal dunia di sebuah hospital di bandar raya ini.

Menurut jadual yang dikeluarkan, pesawat membawa mayat mendiang Mugabe berlepas pada jam 8.50 pagi (waktu tempatan) menuju Zimbabwe.

Dalam pada itu, beberapa motosikal polis kelihatan di luar Singapore Casket, iaitu rumah pengurusan pengebumian yang menempatkan Mugabe, menandakan mayat orang kenamaan bakal meninggalkan lokasi itu.

Seorang ahli keluarga yang ditemui memberitahu Reuters, mayat Mugabe dijangka tiba di Zimbabwe pada jam 3 petang (waktu tempatan), hari ini.

Dalam pada itu, Mugabe, 95, meninggal dunia pada Jumaat lalu, selepas sejak sekian lama menerima rawatan perubatan.

Beliau mendominasi politik Zimbabwe selama hampir 40 tahun, iaitu sejak ia mencapai kemerdekaan pada 1980 hingga digulingkan oleh tentera pimpinannya pada November 2017.

Mayatnya bakal disemadikan di kampung halamannya, di Kutama, Zvimba, iaitu daerah di barat Harare, selepas anggota keluarga mendiang menolak rancangan kerajaan, yang mahu ia dikebumi di Tugu Pahlawan Kebangsaan Acre di Harare. - Reuters/AFP

891 dibaca
Berita Harian X