Isnin, 9 September 2019 | 3:08pm
Anggota tentera mengawasi di Zamboanga, Mindanao. - Foto fail AFP

Pengebom nekad maut letup diri di kem tentera

MANILA: Seorang pengebom nekad yang berpakaian seperti wanita maut selepas meletupkan diri di luar kem tentera di kawasan bergolak, selatan Filipina, kata pihak berkuasa sambil menambah, tiada kecederaan atau kematian lain dilaporkan.

Serangan bunuh diri satu ketika dahulu amat jarang berlaku di Filipina namun sejak Julai 2018, terdapat empat kes dilaporkan berlaku, termasuk yang terbaharu di kepulauan Jolo, Ahad lalu.

Militan Daesh mengaku bertanggungjawab ke atas ketiga-tiga serangan bunuh diri berkenaan yang dianggap pakar semakin membimbangkan, susulan peningkatan aktiviti ekstrim kumpulan terbabit di Filipina.

Menurut kenyataan tentera, penyerang semalam kelihatan agak ganjil kerana mengenakan jubah dan menyerupai seorang wanita.

Pihak berkuasa bagaimanapun masih belum mengesahkan jantina sebenar pengebom itu.

Tiada kumpulan tampil bertanggungjawab setakat ini yang berlaku sehari selepas Daesh mengaku terbabit dalam letupan di pasar di Mindanao, mencederakan lapan pengunjung.

Kumpulan pemisah di negara majoriti Kristian itu sekian lama melancarkan pemberontakan yang meragut ribuan nyawa.

Serangan minggu ini sedikit sebanyak merencatkan usaha mewujudkan kedamaian di rantau berkenaan.

Kumpulan pemisah Islam terbesar, Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) mula meletakkan senjata sejak Sabtu lalu.

Ketika MILF mencapai perdamaian bersama kerajaan, satu lagi kumpulan iaitu Abu Sayyaf masih meneruskan serangan. - AFP

684 dibaca
Berita Harian X