Jumaat, 30 Ogos 2019 | 4:38pm
Pemandangan udara kawasan sekitar Sepaku, dipercayai lokasi ibu negara baharu Indonesia di pulau Borneo. Foto AFP

Pemindahan ibu negara Indonesia ancam orang asli

BANGKOK: Ribuan penduduk orang asli bakal kehilangan tanah yang diwarisi daripada nenek moyang mereka di pulau Borneo, apabila hutan terbabit dibersihkan bagi projek pembangunan ibu negara baharu Indonesia.

Awal minggu ini, Presiden Joko Widodo atau Jokowi dilaporkan berkata, ibu negara baharu Indonesia di Kalimantan Timur di pulau Borneo, dijangka beroperasi mulai 2024.

Langkah memindahkan ibu negara itu diambil selepas Jakarta didapati terlalu padat dan mengalami masalah pencemaran yang teruk, selain dilaporkan semakin tenggelam, berbanding Borneo yang terkenal dengan hutan, orang utan dan beruang matahari.

Menurut Kumpulan Hak Asasi Minoriti Antarabangsa (MRGI) berkata, orang asli kaum Dayak yang tinggal di Kalimantan, kini dilaporkan terperangkap dengan usaha mempertahankan tanah tradisi mereka, dan hutan daripada aktiviti pembalakan, perlombongan serta perladangan kelapa sawit.

“Kaum Dayak secara berterusan menjadi mangsa kemusnahan alam sekitar dan langkah ini secara fizikalnya akan lebih memusnahkan alam sekitar.

“Keputusan untuk berpindah dari Jakarta atas alasan pencemaran dan kesesakan bukan satu tindakan wajar, bagi membolehkan seseorang itu masuk ke ‘halaman’ orang lain, kerana perkara yang sama boleh berlaku.

“Justeru, rundingan perlu dilakukan bagi mengenal pasti kesan pemindahan itu,” kata pengarah eksekutif MRGI, Joshua Castellino.

Namun, Jokowi berkata, Kerajaan Indonesia sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan berhubung kesan pemindahan berkenaan.

Menteri Perancangan Indonesia, Bambang Brodjonegoro, berkata kerajaan sudah menjalankan penilaian antropologi, dan proses pengambilalihan tanah akan bermula pada 2020.

Sementara itu, jurucakap kumpulan sokongan Pakatan Orang Asli Asia, Kittisak Rattanakrajangsri, berkata tiada rundingan diadakan dengan orang asli di Kalimantan Timur, yang bakal kehilangan tanah dan mata pencarian bagi memberi laluan kepada pembinaan ibu negara baharu Indonesia itu.

“Mereka sudah tinggal di kawasan itu selama beberapa generasi. Penempatan semula bukanlah satu langkah penyelesaian terbaik, kerana mereka akan kehilangan sumber pendapatan jika dipindahkan dari tanah tradisi,” katanya kepada Yayasan Thomson Reuters.

Aktivis berkata, walaupun Jokowi sebelum ini memberi jaminan untuk memulangkan tanah seluas 12.7 juta hektar kepada orang asli, tetapi proses itu mengambil masa yang lama.

Pihak berkuasa berkata, mereka sudah menyediakan tanah seluas 180,000 hektar milik kerajaan di Kalimantan Timur untuk projek ibu negara itu. - Reuters

Berita Harian X