Isnin, 26 Ogos 2019 | 5:18pm
Pemandangan udara kawasan Samboja, Kutai Kartanegara, iaitu salah satu lokasi di pulau Borneo yang dicadangkan sebagai ibu negara baharu Indonesia. Foto AFP

Pulau Borneo dipilih lokasi ibu negara Indonesia

JAKARTA: Presiden Joko Widodo, berkata satu lokasi di pulau Borneo sebagai ibu negara baharu Indonesia, bagi menggantikan Jakarta yang padat dengan penduduk.

Lokasi pilihan dipercayai terletak berhampiran beberapa bandar di wilayah terbabit, iaitu Balikpapan dan Samarinda

“Ia terletak di tengah-tengah kepulauan Asia Tenggara dan kerajaan sudah memiliki kira-kira 180,000 hektar tanah di kawasan berkenaan.

“Lokasi di wilayah Kalimantan Timur itu juga kurang risiko untuk terdedah kepada bencana alam,” kata Joko Widodo atau Jokowi.

Dalam satu ucapan yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen, Jokowi berkata: “Sebagai sebuah negara besar yang sudah merdeka selama 74 tahun, Indonesia tidak pernah memilih ibu negaranya sendiri.

“Jakarta kini menanggung beban yang sangat hebat, iaitu sebagai pusat kerajaan, perniagaan, kewangan dan perdagangan dan perkhidmatan”.

Katanya, kerajaan akan merangka rang undang-undang mengenai pemindahan itu untuk dibentangkan ke Parlimen.

Beliau berkata, kos projek berkenaan dianggarkan sekitar 466 trilion rupiah (RM136.94 bilion).

Jokowi berkata, kira-kira 20 peratus daripada projek berkenaan akan dibiayai secara terus oleh kerajaan, manakala bakinya menerusi kerjasama dengan sektor swasta. - AFP

Berita Harian X