Isnin, 12 Ogos 2019 | 10:14pm
Presiden Indonesia, Joko ‘Jokowi’ Widodo mahu biodiesel dengan kandungan 30 peratus minyak bio atau B30 digunakan menjelang Januari 2020.. - Foto Reuters

Jokowi mahu biodiesel B30 sawit digunakan menjelang 2020

JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko ‘Jokowi’ Widodo mahu biodiesel dengan kandungan 30 peratus minyak bio atau B30 digunakan menjelang Januari 2020.

Pejabat Setiausaha Kabinet berkata, langkah itu bertujuan meningkatkan penggunaan minyak sawit dan mengurangkan pengimportan tenaga.

Ketika ini, Indonesia mempunyai program B20 mandatori yang menurut Jokowi mampu menjimatkan AS$5.5 bilion (RM23.09 bilion) import bahan bakar setahun, jika dilaksanakan secara konsisten, katanya.

Kerajaan Indonesia dilihat cuba menggandakan usaha merangsang penggunaan minyak sawit domestik untuk biodiesel memandangkan permintaan lemah minyak sayuran itu, susulan duti import yang dikenakan pembeli terbesar India dan sekatan pasaran Kesatuan Eropah (EU) atas kebimbangan alam sekitar.

Kenyataan Setiausaha Kabinet memaklumkan, Jokowi akan memantau sendiri pelaksanaan program B20 yang diperluaskan pada September, tahun lalu, selain rancangan bertukar kepada B30.

“Semua pihak harus sedar bahawa minyak sawit Indonesia dalam tekanan kerana permintaan global, justeru semua orang mesti ada komitmen, kemahuan sama supaya pasaran domestik boleh mengatasi masalah ini,” katanya.

Presiden juga berkata, beliau mungkin mahu meningkatkan lagi kandungan program biodiesel, menjelang akhir 2020, menurut kenyataan istana. - Reuters

1389 dibaca
Berita Harian X