Khamis, 8 Ogos 2019 | 5:47pm
Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha.

PM Thai ambil tanggungjawab penuh kesilapan angkat sumpah

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha, berkata hari ini beliau mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas kegagalan membaca sumpah taat setia penuh ketika beliau dan Kabinet mengangkat sumpah bulan lalu.

Prayuth dan 35 menteri Kabinet melafazkan taat setia kepada Raja

Vajiralongkorn dalam upacara rasmi di Istana Dusit di Bangkok pada 16 Julai lalu tetapi gagal membacakan sumpah penuh seperti dikehendaki Perlembagaan Thailand.

Menurut seksyen 161 Perlembagaan, Perdana Menteri dan Kabinet dikehendaki melafazkan sumpah setia kepada Raja dan melaksanakan tugas bagi kepentingan negara dan rakyat.

Rakaman upacara itu menunjukkan Prayuth, yang membaca sekeping kertas, dan Kabinetnya meninggalkan ayat terakhir sumpah mengenai menegakkan dan mematuhi Perlembagaan.

“Saya mahu mengambil tanggungjawab sepenuhnya.

“Saya prihatin mengenai apa yang perlu dilakukan untuk bekerja, untuk membuatkan semua orang meneruskan tugas.

“Kami perlu melihat apa kehendak Perlembagaan tetapi kerajaan akan terus bekerja,” katanya hari ini pada permulaan mesyuarat rasmi.

Beliau juga meminta maaf kepada menterinya berhubung perkara itu.

Tidak dapat dipastikan apa yang dilakukan Prayuth untuk membetulkan kesilapan itu. — Reuters

405 dibaca
Berita Harian X