Rabu, 7 Ogos 2019 | 1:32pm
Seorang anggota polis memeriksa kawasan di sekitar lokasi insiden letupan di Bangkok pada Jumaat lalu. Foto AFP

Bom api ditemui di pasar Prathunam, Bangkok

BANGKOK: Pihak berkuasa Thailand berjaya menemui satu bom api yang tidak meletup di sebuah pasar di tengah Bangkok hari ini.

Ia dipercayai salah satu daripada alat peranti yang ditinggalkan dalam siri serangan minggu lalu, mengakibatkan empat mangsa cedera.

Pada Jumaat lalu, masing-masing enam bom kecil dan bom api menggegarkan ibu negara Thailand ketika ia menjadi tuan rumah persidangan menteri luar Persatuan Negara Asia Tenggara (ASEAN).

Persidangan itu turut dihadiri diplomat kanan dari Amerika Syarikat dan China, selain kuasa dunia lain.

Polis Thailand berkata, bom api yang ditemui di pasar Prathunam di tengah Bangkok, adalah menyamai bom yang meletup pada Jumaat lalu.

“Alat peranti itu berfungsi dengan baik, tetapi ia gagal meletup kerana diletakkan tersembunyi di bawah timbunan pakaian, menyebabkan ia tidak memperoleh oksigen yang cukup untuk terbakar.

“Alat peranti itu menggunakan penentu masa dan disambungkan dengan bank kuasa, iaitu sama seperti yang digunakan dalam serangan minggu lalu.

“Ia juga diletakkan pada waktu yang sama seperti peranti lain,” kata seorang pegawai polis kepada Reuters.

Terdahulu, Perdana Menteri, Prayuth Chan-o-cha, berkata pihak berkuasa sudah menahan sembilan suspek, termasuk dua lelaki yang ditahan pada Jumaat lalu.

Kedua-duanya dituduh meletakkan bom di hadapan ibu pejabat polis di tengah Bangkok, sehari sebelum kejadian. - Reuters

Berita Harian X