Rabu, 31 Julai 2019 | 8:19pm

Indonesia kerah ribuan anggota keselamatan padam kebakaran hutan

JAKARTA: Kerajaan Indonesia mengerahkan ribuan anggota tentera dan polis bagi memadamkan kebakaran hutan selepas mengisytiharkan darurat di enam wilayah di kepulauan Sumatera dan wilayah Kalimantan di Borneo.

Jurucakap Agensi Mitigasi Bencana Nasional, Agus Wibowo berkata, jumlah titik panas yang meningkat dengan 124 daripadanya disifatkan cukup kuat boleh menyebabkan kebakaran di seluruh negara, pagi tadi.

Katanya, kerajaan telah mengisytiharkan darurat di wilayah Riau, Sumatera Selatan, Kalimantan Barat, Jambi, Kalimantan Selatan dan Kalimantan Tengah yang mempunyai tanah gambut mudah terbakar.

Justeru, pihak berkuasa mengerahkan seramai 5,679 anggota tambahan ke lima wilayah dengan membabitkan kerjasama antara tentera, polis dan agensi mitigasi.

Selain itu, turut dikerahkan ialah pesawat yang mampu melakukan operasi bom air. Di Riau, pihak berkuasa bencana menyediakan 17 helikopter dan 10 lagi dibantu syarikat swasta, tentera dan kementerian perhutanan.

Agensi berita Antara melaporkan di Pekanbaru, Riau, beberapa guru dan pelajar sekolah memakai topeng muka di dalam kelas dan mereka digesa mengehadkan aktiviti luar kelas kerana masalah jerebu.

Sekretariat kabinet dalam satu kenyataan berkata, Presiden Indonesia, Joko Widodo yang dalam perjalanan ke pulau Sumatera menggesa pegawainya daripada ketua tentera supaya turun padang bagi untuk bersama menghentikan segera kebakaran hutan. -Reuters

Berita Harian X