Ahad, 16 Jun 2019 | 12:26am

Suami isteri ditembak mati, motosikal dicuri di Narathiwat

NARATHIWAT: Sepasang suami isteri ditembak mati sebelum dua penyerang melarikan diri dengan motosikal dalam kejadian di daerah Rangae pagi semalam.

Kejadian berlaku di Jalan Huruparoh-Chalabhorn di Tanyongmas, kata ketua penyiasat di balai polis Rangae, Leftenan Kolonel Woraphon Sukkaew.

Polis, tentera dan pegawai forensik segera bergegas ke lokasi dan menemui dua mayat terbaring di atas jalan raya dengan kesan peluru.

Paisarn Chungsakul, 65, ditembak di dada dan rusuk kiri manakala isterinya, Sumon Chungsakul, 58, ditembak di kepala dan dada.

Siasatan mendapati Paisarn dan isterinya dalam perjalanan dari rumah mereka di daerah Cho Airong ke pasar Tanyongmas awal semalam.

Dalam perjalanan pulang, mereka diekori dua lelaki menaiki motosikal. Pembonceng motosikal melepaskan tembakan ke arah mereka dan kemudian melarikan diri dengan motosikal mangsa.

Ketua Polis Narathiwat mengarahkan balai polis di semua 13 daerah berwaspada kerana motosikal curi itu mungkin digunakan untuk melakukan pengeboman. — Agensi

Berita Harian X