Sabtu, 18 Mei 2019 | 8:29pm
KEDUTAAN Amerika Syarikat (AS) di Jakarta.

Kedutaan AS di Indonesia keluar amaran keselamatan

JAKARTA: Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Jakarta mengeluarkan amaran keselamatan, sebelum pengumuman rasmi keputusan pilihan raya, Rabu depan.

Perkembangan itu berlaku, ketika pihak berkuasa Indonesia menahan hampir 30 militan disyaki termasuk beberapa suspek yang tahu meletupkan bom menggunakan rangkaian Wi-Fi.

Menurut kenyataan kedutaan itu, Jumaat lalu, ia mengingatkan rakyat AS supaya mengelakkan kawasan tunjuk perasaan besar di Jakarta dan beberapa bandar lain termasuk Surabaya di Jawa Timur dan Medan di Sumatera Utara.

Pihak berkuasa Indonesia berkata, mereka meningkatkan keselamatan, sebelum 22 Mei ini, ketika keputusan rasmi pilihan raya presiden akan diumumkan.

Jurucakap polis nasional Indonesia, Muhammad Iqbal memaklumkan pihaknya sudah menahan 29 suspek yang dikaitkan dengan Jamaah Ansharut Daulah (JAD), bulan ini.

Ia adalah kumpulan dikaitkan dengan Daesh terbesar di negara itu dan merampas sekurang-kurangnya lima bom buatan sendiri di beberapa lokasi di seluruh Jawa dan Sulawesi Utara.

Ada daripada suspek mempunyai latihan separa tentera dan pernah ke Syria sebagai pejuang asing, kata Iqbal.

Polis Indonesia turut mendedahkan, ada suspek tahu bagaimana menggunakan teknologi Wi-Fi untuk meletupkan bom, namun tidak jelas sejauh mana rancangan serangan mereka. - Reuters

1073 dibaca
Berita Harian X