Sabtu, 18 Mei 2019 | 3:55pm
Gambar 15 Mei lalu menunjukkan pelarian Rohingya berehat di sebuah balai polis sebelum dihantar pulang ke kem di Cox’s Bazar selepas mereka diselamatkan sebelum melakukan perjalanan ke Malaysia. -Foto AFP

Bangladesh halang 84 pelarian Rohingya ke Malaysia

COX’S BAZAR: Pihak berkuasa Bangladesh berjaya menghalang 84 pelarian Rohingya dari Myanmar untuk cuba melakukan perjalanan bahaya menggunakan bot ke Malaysia, kata pihak berkuasa hari ini.

Polis di Pekua berkata, 67 Muslim Rohingya dari Kutupalong, penempatan pelarian terbesar di dunia ditahan ketika menunggu untuk menaiki bot nelayan.

Pelarian itu termasuk 31 wanita dan 15 kanak-kanak.

Di pulau kecil Bangladesh di Teluk Bengal, Saint Martin, pengawal pantai negara itu menahan 17 lagi etnik Rohingya dan lima penyeludup tempatan sebelum menaiki bot kayu.

Komander pengawal pantai serantau, Fayezul Islam Mondol berkata, mereka bertindak atas maklumat.

Kira-kira 740,000 pelarian Rohingya lari dari Myanmar ke Bangladesh sejak tindakan keras tentera bermula Ogos 2017.

Mereka menyertai tambahan 300,000 lagi Rohingya yang sudah menetap di kem penuh sesak di sini susulan keganasan sebelumnya.

Ribuan pelarian cuba melarikan diri dari kem itu setiap tahun untuk mencari peluang lebih baik di negara seperti Malaysia dan Thailand.

Kebanyakan cubaan melakukan perjalanan dibuat sebelum Mac, apabila laut tenang sebelum musim monsun namun pakar berkata, penyeludup kini meyakinkan pelarian untuk cuba menyeberang walaupun ketika laut bergelora.

“Ini adalah situasi amat membimbangkan,” kata Jishu Barua, seorang pekerja bantuan untuk kes pemerdagangan manusia. -AFP

301 dibaca
Berita Harian X