Sabtu, 18 Mei 2019 | 10:33am
ARIEF Budiman

Presiden Indonesia, naib diumum 28 Mei

JAKARTA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Indonesia dijangka mengumumkan presiden dan naib presiden bagi tempoh 2019 hingga 2024 pada 28 Mei ini.

Pengerusi SPR Indonesia, Arief Budiman, berkata tarikh 22 Mei adalah pentas menentukan keputusan undian, dan dalam masa tiga hari, pada 25 Mei 2019, pihaknya akan melihat jika saman difailkan atau tidak.

“Jika tiada saman pada tempoh 25 hingga 27 Mei 2019, kami akan mengumumkan presiden dan naib presiden yang dipilih pada 28 Mei 2019,” kata Arief.

Beliau berkata, presiden boleh diumumkan lebih awal iaitu pada 26 Mei ini, jika keadaan benar-benar kondusif dan tanpa saman daripada pembangkang.

Bagaimanapun, Arief mendakwa beliau sudah bersedia dengan semua risiko yang akan timbul.

SPR Indonesia kini mengendalikan proses membabitkan peguam dalam berurusan dengan kemungkinan tuntutan yang akan timbul.

Katanya, saman, selepas mengumumkan hasil undian, akan dikendalikan oleh Mahkamah Perlembagaan menerusi proses perbicaraan.

Disebabkan itu, beliau merayu kepada semua pihak berkenaan menyelesaikan perbalahan ketika proses pengiraan undian dalam bangunan SPR Indonesia.

“Setakat ini, 28 daripada 35 wilayah sudah menyelesaikan proses pengiraan semula undi bagi pilihan raya 2019,” katanya. — Agensi

260 dibaca
Berita Harian X