Jumaat, 17 Mei 2019 | 10:27pm
Suspek militan diiringi pegawai polis anti-keganasan sejurus sebelum sidang media di Jakarta, hari ini. -Foto EPA

Polis Indonesia gagalkan cubaan letup bom guna WiFi

LOMBOK: Polis Indonesia berkata, mereka menggagalkan komplot pengganas disyaki yang berupaya meletupkan peranti letupan menggunakan WiFi, mengetengahkan kecanggihan dalam pembuatan bom di sebuah negara dengan sejarah aktiviti militan dikaitkan Daesh.

Beberapa suspek, yang ditahan dalam serbuan minggu lalu di pulau padat penduduk di Jawa di sini adalah anggota Jamaah Ansharut Daulah atau JAD, kumpulan militan tempatan yang berikrar taat setia dengan Daesh, kata polis.

Ketika serbuan, ejen anti-keganasan menemui peralatan membuat bom dan kesan triaseton triperoksida atau TATP, bahan letupan buatan tidak stabil yang kadang kala digunakan Daesh di luar Asia Barat.

TATP digunakan dalam pengeboman Daesh di Paris dan Brussels, serta bulan lalu di Sri Lanka di mana lebih 250 orang terkorban dalam serangan bunuh diri di gereja dan hotel.

Seorang daripada suspek dalam komplot Indonesia itu adalah pembuat bom mahir yang ditahan 8 Mei lalu, sedang melengkapkan proses meletupkan bom menggunakan rangkaian WiFi, kata jurucakap polis nasional Dedi Prasetyo, semalam.

Dedi berkata, militan merancang untuk melancarkan serangan Rabu depan (22 Mei) apabila keputusan rasmi pilihan raya umum Indonesia dijangka diumumkan.

Oleh kerana Indonesia menjadi sasaran berulang serangan militan radikal, pihak berkuasa kadang kala menggunakan penyekat isyarat telefon ketika perhimpunan besar-besaran bagi menghalang pengebom daripada mengaktifkan peranti letupan dari jauh.

Namun, Dedi berkata, menyekat isyarat WiFi lebih sukar untuk dilakukan.

Selasa lalu, pegawai anti-keganasan di Jawa menahan sembilan orang disyaki terbabit dengan aktiviti militan, tujuh daripadanya kembali dari Syria. -NYT

499 dibaca
Berita Harian X