Jumaat, 17 Mei 2019 | 2:17pm
- Foto hiasan

10 penyeludup dadah dihukum mati

HANOI : Pihak berkuasa Vietnam menghukum mati 10 individu atas kesalahan menyeludup metafetamin, ketamin dan ekstasi di seluruh negara menggunakan kereta api, lapor media negara itu hari ini, serentak dengan usaha negara berkenaan meningkatkan usaha memerangi sindiket dadah.

Media rasmi negara melaporkan, kumpulan terbabit didapati bertanggungjawab memindahkan 300 kilogram dadah dari utara Vietnam ke Ho Chi Minh antara 2015 dan 2016.

Lima lelaki dan lima wanita dijatuhkan hukuman mati selepas perbicaraan minggu ini di Hanoi manakala dua lagi berdepan hukuman penjara seumur hidup.

Laman berita rasmi, Vietnamnet melaporkan, kedua-dua ketua kumpulan itu menerima bayaran berjumlah ratusan ribu dolar sebagai upah menyeludup kesemua dadah berkenaan.

Pegawai mahkamah bagaimanapun tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.

Dakwaan ke atas kumpulan itu adalah susulan kepada beberapa serbuan di sekitar Vietnam yang menguatkuasakan antara undang-undang berkaitan dadah paling ketat di dunia.

Mana-mana individu yang ditangkap bersama lebih daripada 600 gram heroin atau lebih daripada 2.5 kilogram metafetamin boleh dijatuhkan hukuman mati.

Polis minggu lalu merampas setengah tan ketamin di Ho Chi Minh dan menahan tiga rakyat Taiwan serta seorang warga negara China dalam serbuan terbabit. - AFP

377 dibaca
Berita Harian X