Jumaat, 17 Mei 2019 | 12:29pm
TAKTIK terbaharu pemangsa pedofilia menanti kanak-kanak ASEAN khususnya Thailand dan Filipina yang menjadi hab pemerdagangan mangsa di bawah umur.

Kanak-kanak ASEAN berdepan taktik baharu ancaman pemangsa pedofilia

BANGKOK : ASEAN berdepan ancaman terbaru pemangsa pedofilia yang merangka dan menonton bahan lucah kanak-kanak menerusi saluran langsung media sosial dan kamera komputer, hasil bayaran menggunakan mata wang kripto.

Dengan kadar kemiskinan berleluasa, kelemahan penguatkuasaan undang-undang dan sistem kehakiman, Thailand, Kemboja, Vietnam, Laos serta Filipina sejak sekian lama menjadi lokasi kegemaran golongan pedofilia untuk melakukan hubungan seks dengan mangsa di bawah umur.

Dasar yang lebih tegas serta peningkatan tahap kesedaran berjaya menakutkan segelintir pesalah namun kecanggihan teknologi berhasil mengubah kaedah digunakan golongan berkenaan, termasuk akses meluas internet dan perlindungan maklumat atau data.

Pakar memberi amaran, golongan pedofilia kini menggunakan pelbagai peralatan dan telefon pintar canggih untuk menonton pelbagai jenis penderaan seksual kanak-kanak termasuk rogol di rangkaian media sosial, platform perkongsian video dan laman terlarang.

“Pemangsa ini menonton semua aksi penderaan seksual itu di platform yang tidak mungkin akan ditutup.

“Ia adalah secara langsung, bukan dirakam dan semua data dilindungi. Pengguna membayar menggunakan Bitcoin dan ia menjadikan transaksi mereka sangat selamat,” kata Francois Xavier Souchet dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Terre des Hommes yang berpangkalan di Thailand.

Minggu ini, semua gergasi internet termasuk Apple, Google, Microsoft dan Facebook akan memberikan bukti pada Inkuiri Bebas Penderaan Kanak-Kanak (IICSA) yang diadakan di London serta mencari kaedah sesuai untuk membasmi jenayah seksual dalam talian.

Laporan oleh Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) mendapati, permintaan untuk penderaan seksual kanak-kanak menerusi kamera komputer adalah punca peningkatan pemerdagangan manusia dengan Thailand dan Filipina memainkan peranan sebagai hab perdagangan.

Seorang mangsa, Cassie dari Filipina berkata, dia hanya berusia 12 tahun apabila dipaksa melakonkan aksi seksual bersama dua lelaki dewasa di hadapan kamera.

Dia berpindah ke Manila untuk bekerja sebagai pembantu rumah namun menjadi mangsa eksploitasi majikan ibunya dan penyeksaan itu berlarutan selama lima tahun.

Pelaku jenayah itu hanya dikenakan hukuman penjara selama dua tahun pada 2017. - AFP

388 dibaca
Berita Harian X