Rabu, 15 Mei 2019 | 9:01pm
MENTERI perancangan bandar, Bambang Brojonegoro. - Foto Reuters

Indonesia muktamad lokasi ibu negara baharu tahun ini

JAKARTA: Indonesia akan membuat keputusan mengenai ibu negara baharunya, tahun ini, dengan matlamat menyiapkannya menjelang 2024, menurut seorang menteri, hari ini.

Keputusan memindahkan ibu negara dari bandar mega Jakarta, diumumkan kira-kira dua minggu lalu, selepas Presiden Joko Widodo meluluskan rancangan yang sudah lama dirancang itu.

Menteri perancangan bandar, Bambang Brojonegoro berkata kerajaan sedang menyiapkan kajian, justeru mereka boleh membuat keputusan, tahun ini, dan memulakan projek pecah tanah pada 2021.

“Kita banyak melakukan koordinasi untuk menyelesaikan kajian, justeru kita boleh membuat keputusan tahun ini mengenai lokasi baharu ibu negara.

“Ia membolehkan proses dan pembinaan bermula dalam tempoh satu atau dua tahun. Kami berharap ibu negara baharu tersedia sebagai pusat baharu kerajaan menjelang 2024,” katanya.

Jakarta dan beberapa bandar satelit di sekelilingnya mempunyai kira-kira 30 juta penduduk dan sering dianggap bandar dengan trafik paling sesak di dunia.

Banjir juga berlaku setiap tahun kerana aktiviti mengekstrak air bawah tanah yang menjadikannya bandar mendap terpantas di dunia.

Awal bulan ini, Presiden Widodo melawat Kalimantan Timur dan Tengah di pulau Borneo untuk mencari lokasi ibu negara baharu. - AFP

757 dibaca
Berita Harian X