Rabu, 15 Mei 2019 | 5:46pm
Skuad keselamatan presiden (Paspampres) turut menyertai latihan menjelang pengumuman keputusan pilihan raya presiden minggu depan. Foto Reuters

32,000 polis, tentera dikerah kawal Jakarta

JAKARTA: Skuad anti pengganas Indonesia menahan sekurang-kurangnya 10 individu yang disyaki merancang melakukan serangan, pada majlis pengumuman keputusan pilihan raya presiden yang bakal diadakan minggu depan.

Pengumuman oleh pihak polis itu dibuat ketika ketegangan semakin meningkat, hingga memaksa kawalan keselamatan diperketatkan menjelang tarikh pengumuman pada 22 Mei ini, oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU).

Ia dijangka mengesahkan keputusan tidak rasmi yang dijalankan oleh beberapa pasukan tinjauan pendapat persendirian, yang menunjukkan penyandang presiden, Joko Widodo atau Jokowi, memenangi saingan, menewaskan bekas jeneral, Prabowo Subianto.

Jurucakap polis kebangsaan, Dedi Prasetyo, berkata hampir 32,000 anggota polis dan tentera sudah diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga di Jakarta, termasuk pasukan yang dibawa dari wilayah lain, bagi mengawal keadaan ketika majlis pengumuman berkenaan.

“Hasil siasatan yang dijalankan kami berjaya mengesan suspek yang merancang untuk melancarkan serangan besar-besaran pada 21, 22 dan 23 Mei ini.

“Mereka mahu mencetuskan kekacauan dan menyasar seramai mangsa yang mungkin, termasuk polis,” kata Prasetyo ketika merujuk kepada demonstrasi yang bakal diadakan minggu depan.

Katanya, suspek berkenaan adalah anggota Jemaah Ansharut Daulah (JAD), iaitu kumpulan yang dikaitkan dengan militan Daesh dan pihak berkuasa sedang memburu lebih ramai anggotanya.

Minggu lalu, pihak berkuasa menembak mati seorang militan Daesh dan menahan enam yang lain, kerana merancang menyerang polis. - Reuters

480 dibaca
Berita Harian X