Rabu, 15 Mei 2019 | 1:56pm
Gambar fail kerosakan akibat gempa di PNG pada 7 Mac 2018. -Foto Reuters

Pasukan penilai dihantar ke PNG susulan gempa bumi

KOKOPO: Papua New Guinea (PNG) menghantar pasukan penilai hari ini untuk mendapatkan gambaran sebenar kerosakan akibat gempa bumi kuat magnitud 7.5 yang menggegarkan rangkaian kepulauan pantai utara malam tadi.

Seorang wartawan AFP dan penduduk di New Britain berkata, bekalan elektrik masih terputus dan stesen radio tidak beroperasi kira-kira 12 jam selepas gempa, namun jelas tiada kerosakan besar struktur atau kematian.

“Tidak banyak berlaku kerosakan, syukur, hanya barangan jatuh,” kata Ellen Morgan, seorang pengurus di Kokopo Beach Bungalows.

Pihak berkuasa di pelabuhan berhampiran Rabaul berkata, tiada kerosakan besar terhadap kemudahan itu yang beroperasi seperti biasa.

Infrastruktur komunikasi PNG yang teruk, kekurangan jalan raya dan bentuk muka bumi sukar bermaksud ia mengambil masa beberapa hari sebelum impak penuh bencana alam itu diketahui.

Seorang jurucakap Pusat Bencana Nasional (NDC) di Port Moresby berkata, mereka sudah menghantar pasukan untuk meneliti kerosakan penuh.

“Pasukan penilai dihantar ke kawasan itu namun kami belum mendengar berita daripada mereka lagi, justeru, kami tiada laporan untuk didedahkan,” katanya.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan, kira-kira 120,000 penduduk tinggal dalam lingkungan 50 kilometer dari pusat gempa.

Gempa kuat lewat semalam itu menyebabkan penduduk lari menyelamatkan diri dan mencetuskan kebimbangan tsunami.

Ia berlaku jam 11 malam waktu tempatan, sejauh 44 kilometer di timur laut bandar ini di pulau New Britain, kata Pusat Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Sesetengah penduduk tempatan melaporkan melihat air pasang surut beberapa meter selepas gempa, namun tsunami tidak berlaku. -AFP

521 dibaca
Berita Harian X