Rabu, 15 Mei 2019 | 7:38am
Lembaga Kemenangan Nasional (BPN) kem Prabowo-Sandi membentangkan maklumat berkaitan pelbagai tindakan penipuan yang berlaku sebelum, ketika dan selepas pengundian. Antara masalah itu kata mereka adalah senarai pengundi rekaan yang kekal, politik wang, penggunaan mesin undi dan kertas undi dikoyak sehinggalah salah kiraan di laman web KPU. -Foto Agensi

Prabowo enggan terima keputusan akhir KPU, 82 peratus undi sudah dikira

JAKARTA: Calon presiden Prabowo Subianto dan gandingannya Sandiaga Uno enggan menerima keputusan kiraan undi Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) Indonesia, yang didakwa melakukan penipuan.

“Kami masih berharap untuk KPU, namun pendirian saya jelas. Saya akan menolak keputusan menipu. Kami tidak boleh menerima ketidakadilan dan ketidakjujuran dalam pelaksanaan pilihan raya ini,” kata Prabowo dalam pembentangan bertajuk ‘Mendedahkan Fakta Penipuan Pilihan Raya 2019,’ di Hotel Grand Sahid Jaya di sini, semalam.

Prabowo mendakwa partinya memiliki harapan tipis terhadap KPU dan mengingatkan anggota suruhanjaya itu, masa depan Indonesia berada di bahu mereka.

“Anda (KPU) perlu membuat keputusan. Anda perlu memilih menegakkan kebenaran dan keadilan atau meneruskan pembohongan dan ketidakadilan. Jika ketidakadilan, justeru anda membenarkan penjajahan kembali kepada rakyat Indonesia,” katanya.

Dalam menjelaskan dakwaan penipuan itu, pasukan teknikal Prabowo-Sandi, Lembaga Kemenangan Nasional (BPN) membentangkan maklumat berkaitan pelbagai tindakan penipuan yang berlaku sebelum, ketika dan selepas pengundian.

Antara masalah itu kata mereka adalah senarai pengundi rekaan yang kekal, politik wang, penggunaan mesin undi dan kertas undi dikoyak sehinggalah salah kiraan di laman web KPU.

Sebagai tambahan menolak proses kiraan undi KPU, BPN kem itu menggesa Sistem Informasi Penghitungan Suara (Situng) dihentikan. Permohonan pembatalan Situng dan kiraan undian pilihan raya dihantar menerusi sepucuk surat kepada KPU.

BPN menganggap penipuan ketika pilihan raya 2019 adalah berstruktur, sistematik dan besar-besaran atau TSM.

Menurut kiraan Situng semalam, gandingan Joko ‘Jokowi’ Widodo-Ma’aruf Amin memperoleh 69,897,142 undi atau 56.31 peratus sementara Prabowo-Sandi menerima 54,221,717 atau 43.69 peratus.

Perbezaan undian antara kedua-duanya mencapai 15,675,425 undi atau 12.62 peratus.

Dalam pada itu, menurut laporan Antara News, kiraan Situng sehingga jam 12 tengah malam tadi mencapai 668,632 daripada 813,350 stesen undi atau 82.22 peratus.

Berdasarkan data itu, kiraan untuk gandingan Jokowi-Ma’aruf adalah 70,807,903 undi (56.24 peratus) manakala Prabowo-Sandi memperoleh 55,095,708 undi (43.76 peratus). Perbezaan antara kedua-duanya adalah 15.71 juta undi.

Sementara itu, daripada 34 wilayah, empat daripadanya selesai melengkapkan 100 peratus data Borang C1 dalam Situng iaitu Bengkulu, Bangka Belitung, Bali dan Gorontalo. -Agensi

1050 dibaca
Berita Harian X