Khamis, 9 Mei 2019 | 3:34pm
Bukit Soeharto yang terletak di Kalimantan Timur.

Bukit Soeharto dipertimbang ibu kota baharu Indonesia

JAKARTA: Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo menganggap Bukit Soeharto yang terletak di Kalimantan Timur sebagai tempat sesuai untuk ibu kota baharu negara itu kerana memiliki infrastruktur mencukupi yang diperlukan.

Kelmarin, Jokowi melawat wilayah itu di Taman Hutan Raya, di daerah Samboja, sebagai sebahagian usaha merealisasikan cadangan memindahkan ibu kota dari Jakarta selepas menyemak rancangan itu dalam mesyuarat Kabinet baru-baru ini.

Bukit Soeharto adalah kawasan hutan seluas 61,850 hektar dan boleh sampai dengan jalan raya dalam masa satu jam setengah dari Samarinda dan 45 minit dari Balikpapan, dua bandar raya terbesar di wilayah itu.

“Di sini, saya nampaknya semuanya sangat membantu.

“Infrastruktur persekitaran kawasan ini akan membantu ia menjadi ibu kota baharu,” Jokowi dipetik sebagai berkata.

Bukit Soeharto terletak di pertengahan jalan bertol Samarinda dan Balikpapan. Kedua-dua bandar raya itu mempunyai lapangan terbang sendiri.

Kewujudan infrastruktur boleh menjimatkan wang bagi pembangunan bandar raya tetapi Jokowi berkata masih ada faktor lain perlu dipertimbangkan selain infrastruktur sebelum keputusan dibuat.

“Kita perlu ada kajian sosio-politik menyeluruh,” katanya, menambah kerajaan juga akan mempertimbangkan kawasan yang tidak terdedah kepada bencana sebagai ibu kota baharu. — Agensi

Berita Harian X