Isnin, 22 April 2019 | 8:41am
Gunung Agung mengeluarkan debu gunung berapi seperti dilihat di perkampungan Tulamben, daerah Karangasem di Bali, 22 Februari lalu. Gunung berapi itu meletus sekali lagi semalam. -Foto Antara

Letusan Gunung Agung tidak jejas operasi lapangan terbang di Bali

JAKARTA: Pengendali lapangan terbang kerajaan, PT Angkasa Pura I (AP I) berkata, letusan Gunung Agung di Bali tidak menjejaskan operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai, Denpasar.

“Berdasarkan hasil mesyuarat, kami memutuskan untuk beroperasi seperti biasa selepas menimbangkan data daripada semua pihak berkepentingan,” kata jurucakap lapangan terbang Arie Ahsanurrohim di Denpasar, semalam dipetik agensi Antara.

Gunung berapi itu meletus jam 3.21 pagi semalam, mengeluarkan debu gunung berapi setinggi 2,000 meter (dua kilometer) ke udara.

Berdasarkan ujian di lapangan terbang dijalankan antara jam 6.44 hingga 8.15 pagi, debu gunung berapi itu tidak mengganggu penerbangan.

Arie berkata, berdasarkan pemantauan cuaca penerbangan jam 10.30 pagi, debu gunung berapi itu hampir dengan lapangan terbang, namun situasi akan dipantau.

“Semua pihak berkepentingan akan bermesyuarat semula jika ada perubahan ketara bagi membincangkan situasi itu,” katanya.

Sementara itu, jurucakap agensi pencegahan bencana nasional (BNPB), Sutopo Purwo Nugroho berkata, debu tebal gunung berapi itu terbang ke kawasan barat daya, menyebabkan hujan debu di daerah Karangasem, Bangli dan Klunglung.

Status Gunung Agung kekal di peringkat tiga atau empat dan pihak berkuasa terus menguatkuasakan zon larangan dalam lingkungan empat kilometer.

Katanya, ribuan topeng muka diagihkan kepada penduduk, dibimbangi debu itu menjejaskan sistem pernafasan.

Dua lagi gunung berapi popular dengan pelancong di Pulau Jawa terus meletus iaitu Bromo di Jawa Timur dan Merapi di Yogyakarta.

“Ini adalah situasi normal gunung berapi aktif dan tidak perlu orang awam panik selagi mereka berada di luar zon bahaya. Jangan cuba hampiri kawah untuk merakam aktivitinya,” kata Sutopo.

Gunung Agung terletak dalam daerah Karangasem dan sejauh 70 kilometer dari hab pelancong di Kuta. Letusan terakhir pada 1963 menyebabkan lebih 1,100 orang terbunuh. -Agensi

Berita Harian X