Selasa, 16 April 2019 | 9:20am
Petugas pilihan raya menyusun kotak undi sebelum diagihkan ke pusat mengundi di Jakarta. - Foto Reuters

'Klingking Fun' tawar diskaun sempena PEMILU

JAKARTA: Agensi Ekonomi Kreatif (Bekraf) dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Maklumat (Kominfo) serta beberapa rakan perniagaan di negara ini mengumumkan diskaun dan promosi dalam usaha mengumpan lebih ramai penduduk untuk keluar mengundi.

Kempen bersempena Pemilihan Umum Indonesia (PEMILU) dikenali sebagai ‘Klingking Fun’ itu dikatakan akan menawarkan sehingga 50 peratus diskaun untuk produk dan perkhidmatan dari lebih 250 jenama tempatan dan antarabangsa selain peruncit.

Ketua Bekraf, Triawan Munaf berkata, beliau memperkenalkan inisiatif itu susulan bimbang akan jumlah penduduk yang bakal keluar mengundi pada 17 April esok yang diisytiharkan Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo sebagai cuti umum.

“Saya sedar ramai pekerja yang teruja untuk bercuti hujung minggu ini kerana cuti umum pada 17 April akan disusuli oleh sambutan Good Friday pada 19 April,” kata Triawan.

“Ramai juga yang mahu menghabiskan masa di rumah atau ke luar bandar sempena cuti panjang itu daripada keluar mengundi,” katanya kepada The Jakarta Post selepas perasmian kempen terbabit semalam.

Ketua Kominfo, Rudiantara berkata beliau yakin kempen itu akan berkesan dalam mengumpan lebih ramai penduduk ke pusat mengundi.

Pengundi bakal menikmati diskaun dari beratus-ratus jenama terkenal dan peruncit termasuk pusat beli-belah Sogo, Sushi Tei, Alfamart dan Cinema XXI.

Beberapa tawaran hanya sah pada hari pengundian, sementara yang lain akan berlangsung sehingga akhir bulan.

 

Untuk mendapatkan diskaun, pengundi hanya perlu menunjukkan jari kelingking mereka yang sudah berdakwat di kaunter pembayaran.

Bagi pembeli dalam talian, pengundi perlu memuat naik gambar jari mereka yang berdakwat sebelum layak mendapat tawaran terhad.

Esok, lebih 190 juta rakyat Indonesia yang layak akan memilih presiden berikutnya, ahli parlimen dan ribuan pegawai tempatan.

Sejumlah 245,000 calon bakal bertanding dengan 800,000 stesen pengundian disediakan di seluruh negara. - Agensi

281 dibaca
Berita Harian X