Ahad, 14 April 2019 | 1:53pm
AIR terjun dalam bangunan tertinggi di dunia dikenali sebagai ‘The Rain Vortex’ setinggi lebih 40 meter kini dibuka kepada umum di Jewel, Lapangan Terbang Changi. - Foto Reuters

Air terjun 'tertutup' tertinggi dunia dibuka di Jewel, Lapangan Terbang Changi

SINGAPURA: Air terjun dalam bangunan tertinggi di dunia dikenali sebagai ‘The Rain Vortex’ setinggi lebih 40 meter kini dibuka kepada umum di Jewel, Lapangan Terbang Changi, di sini.

Jewel yang turut digelar sebagai ‘hab gaya hidup’ itu juga terus mengumpan pengembara dari seluruh dunia dengan pembukaan hutan buatan serta taman setinggi empat tingkat.

Selain taman permainan dan pusat beli-belah baharu, penambahan kedai dilihat sebagai langkah paling popular dalam kalangan pengurusan lapangan terbang untuk memaksimumkan perniagaan mereka.

Di Singapura, 280 kedai dan restoran baru berkongsi kemudahan pelbagai guna di premis 10 tingkat, lima di atas dan lima di bawah tanah itu.

Tarikan terbaru itu kini dibuka kepada umum, manakala kedai dan restoran di lapangan terbang terbabit akan memulakan perniagaan pada 17 April ini.

Beberapa tarikan, termasuk Jambatan Kanopi, tidak akan dibuka sehingga musim panas.

Penampilan terbaru lapangan terbang itu mendapat inspirasi dari ‘City in a Garden’ Singapura dan direka oleh arkitek, Moshe Safdie.

Perluasan Terminal 1 lapangan terbang itu juga membawa kepada keputusan untuk mengembangkan lagi pilihan perniagaan dan kedai makan serta kemudahan rekreasi. - Agensi

Berita Harian X