Sabtu, 6 April 2019 | 3:56pm

Nelayan Indonesia tebusan Abu Sayyaf cuba larikan diri mati lemas

MANILA: Seorang nelayan Indonesia yang ditahan sebagai tebusan oleh militan Abu Sayyaf mati lemas, manakala dua lagi tawanan berjaya diselamatkan.

Jurucakap tentera hari ini berkata, kesemua tebusan berkenaan ditahan di sebuah pulau terpencil selama hampir enam minggu selepas pasukan keselamatan mengepung lokasi itu dalam usaha menangkap kesemua penculik.

Ketiga-tiga mangsa diculik ketika sedang menangkap ikan, Disember tahun lalu.

Jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Gerry Besana, kumpulan Abu Sayyaf itu cuba meninggalkan pulau Simusa di selatan Filipina dan membawa kesemua tebusan.

Seorang tebusan, Heri Ardiansyah berjaya diselamatkan ketika cubaan melarikan diri oleh militan terbabit namun rakannya, Hariadin meninggal dunia akibat lemas.

Seorang lagi tebusan dari Malaysia, Jari Abdullah turut berjaya diselamatkan pasukan keselamatan Filipina dan kini sedang menerima rawatan di hospital tentera selepas cedera ditembak.

“Pulau itu sudah dikepung sejak 41 hari lalu. Penculik itu menyangka mereka boleh melarikan diri daripada kami dengan berenang,” katanya.

Beliau berkata, tiga daripada sekurang-kurangnya tujuh penculik itu terbunuh dalam operasi terbabit.

Besana berkata, pihak tentera mendapat maklumat berhubung lokasi tebusan berkenaan ditahan akhir Februari lalu dan mengarahkan sekumpulan kecil penduduk yang mendiami kawasan itu untuk berpindah. - AFP

521 dibaca
Berita Harian X