Khamis, 21 Februari 2019 | 1:52pm
JOKO ‘Jokowi’ Widodo (kiri) bersalaman dengan calon presiden, Prabowo Subianto . - Foto EPA

Kekayaan Prabowo bantu kempen 2012 Jokowi

JAKARTA: Kontroversi berhubung milikan tanah yang melanda calon presiden Prabowo Subianto masuk fasa baru semalam apabila tokoh Parti Gerindra mendakwa Joko ‘Jokowi’ Widodo turut mendapat tempias manfaat daripada kekayaan Prabowo itu.

Susulan pendedahan presiden berhubung milikan tanah Prabowo seluas beribu-ribu hektar dalam debat kedua baru-baru ini, pesaing memberi amaran kepada Jokowi bahawa sebahagian kejayaannya dalam politik adalah hasil bantuan dari parti yang diasaskan oleh bekas jeneral tentera itu.

Timbalan Pengerusi Parti Gerindra, Edhy Prabowo, berkata hasil daripada pemilikan konsesi besar milik Prabowo di Kalimantan Timur dan Aceh Tengah turut menyumbang kepada kempen Jokowi untuk merebut jawatan gabenor Jakarta pada 2012.

Bantuan itu turut disifatkan sebagai tonggak utama yang membawa kepada kejayaan beliau dilantik sebagai presiden pada 2014.

“Sebahagian dana hasil perniagaan itu disalurkan untuk membiayai kempen Jokowi semasa pemilihan gabenor 2012 di Jakarta dan jumlahnya juga besar,” kata Edhy kepada Jakarta Post.

Berdasarkan hubungan lalu Jokowi dengan Gerindra, Edhy menyangkal kenyataan Jokowi, yang disifatkannya sebagai serangan peribadi terhadap Prabowo semasa perbahasan kedua Ahad lalu.

“Jokowi seperti lupa bahawa Prabowo dan Parti Gerindra memainkan peranan utama sehingga membawanya di mana dia berada sekarang,” kata Edhy.

Pendedahan bahawa Prabowo memiliki tanah yang luas, juga bertentangan dengan kempennya sendiri yang sering mengkritik kumpulan kecil rakyat Indonesia yang menguasai sumber negara atau oligarki.

Pensyarah Institut Asia di University of Melbourne, Vedi Hadiz berkata kedua-dua Prabowo dan Jokowi terikat dalam struktur oligarki yang disemai sejak Era Perintah Baru dan kini wujud bersama-sama demokrasi negara.

“Hakikat bahawa Prabowo mungkin dianggap sebagai 'pemimpin berjiwa rakyat’ agak lucu melihatkan asal-usulnya sendiri dari dalam kalangan oligarki Era Order Baru,” kata Vedi kepada Jakarta Post.

Prabowo juga adalah bekas menantu kepada mantan presiden Soeharto.

“Tanggapan orang ramai bahawa Jokowi mampu melancarkan kerjaya politiknya dan bertahan selama ini tanpa bantuan kewangan kalangan oligarki juga lucu,” katanya. - Agensi

Berita Harian X