Selasa, 12 Februari 2019 | 5:44pm
MIKHY Farrera Brochez dedahkan maklumat sulit termasuk nama, nombor pengenalan diri, nombor telefon dan alamat 5,400 warga Singapura yang positif HIV sehingga Januari 2013 dan 8,800 warga asing yang didiagnos sehingga 2011. - Foto New Straits Times

Warga AS bocor kes HIV Singapura, ada fail lain

SINGAPURA: Seorang warga Amerika Syarikat (AS) yang membocorkan maklumat lebih 14,000 individu positif HIV di Singapura mungkin memiliki banyak lagi fail lain dari pangkalan data, lapor menteri kesihatan negara itu hari ini.

Bulan lalu, Singapura mendedahkan identiti suspek, Mikhy Farrera Brochez yang diusir tahun lalu selepas disabit dengan beberapa kesalahan berkaitan dadah dan penipuan termasuk memalsukan status HIV beliau.

Brochez mendedahkan maklumat sulit termasuk nama, nombor pengenalan diri, nombor telefon dan alamat 5,400 warga Singapura yang positif HIV sehingga Januari 2013 dan 8,800 warga asing yang didiagnos sehingga 2011.

“Kami percaya ada banyak lagi fail dalam simpanannya,” kata Menteri Kesihatan, Gan Kim Yong kepada parlimen.

Tambahnya polis kini sedang bekerjasama dengan kerajaan AS dan agensi berkenaan turut memantau internet, khuatir wujud kebocoran lain.

Kementerian Kesihatan sebelum ini berkata, pihaknya menyedari bahawa Brochez memiliki maklumat rahsia dari Daftar HIV negara itu sejak Mei 2016. - Reuters

735 dibaca
Berita Harian X