Selasa, 12 Februari 2019 | 11:30am
Warga lelaki dan penduduk tetap Singapura perlu menjalani dua tahun khidmat negara genap usia 18 tahun, sama ada dalam tentera, polis atau perkhidmatan kecemasan. -Foto hiasan

Singapura pertahan program khidmat negara susulan insiden kematian

SINGAPURA: Republik ini mempertahankan sistem kerahan tenaga negara itu selepas kematian terbaharu empat anggotanya termasuk seorang aktor muda popular, mencetuskan kritikan meluas.

Ketika ibu negara kecil itu dikelilingi jiran lebih besar, pemimpin pengasas republik ini memutuskan untuk bergantung kepada tentera kerahan sebagai tunjang strategi pertahanannya selepas negara itu memperoleh kemerdekaan pada 1965.

Warga lelaki dan penduduk tetap perlu menjalani dua tahun khidmat negara genap usia 18 tahun, sama ada dalam tentera, polis atau perkhidmatan kecemasan. Mereka juga kerap dipanggil untuk menjalani latihan lanjut untuk beberapa tahun selepas itu.

Namun sesetengahnya menggesa sistem kerahan tenaga ditukar susulan kematian empat pelatih, tiga melakukan khidmat awal dua tahun manakala yang keempat melakukan latihan tentera simpanan, dalam tempoh 17 bulan.

Kes yang mencetuskan kontroversi terbesar adalah kematian Aloysius Pang, 28, seorang pelakon yang mengalami kecederaan membawa maut ketika membaiki kereta kebal sewaktu menyertai latihan di New Zealand bulan lalu sebagai sebahagian latihan wajib tentera simpanan.

“Berhenti mengeksploitasi lelaki muda atas nama pertahanan awam. Seorang anggota pasukan bersenjata akan melakukan tugas dengan lebih berkesan,” tulis seorang pengguna media sosial, CJ Leo di bawah satu artikel mengenai sistem semalam.

Dalam satu kenyataan ke Parlimen semalam, Menteri Pertahanan Ng Eng Hen menegaskan, republik itu ‘tidak perlu berputus asa terhadap khidmat negara, yang membentuk tulang belakang SAF (Pasukan Bersenjata Singapura) untuk pertahanan negara.’

Eng Hen memohon maaf atas kematian itu dan berkata, SAF serta Kementerian Pertahanan meletakkan langkah keselamatan tambahan.

Namun beliau juga menggesa rakyat republik supaya tidak terlepas alasan mengapa rakyat lelaki perlu menjalani latihan tentera untuk melindungi negara.

“Tanpa anggota khidmat negara, kita tidak dapat memiliki SAF atau pasukan negara yang dapat menghalang pengganas daripada menyerang Lapangan Terbang Changi atau menjejaskan orang awam dalam pusat beli belah, di tempat sesak.

“Tanpa anggota khidmat negara dan SAF, penyerang potensi tidak akan dengan mudah menyerbu ke dalam dan menduduki Singapura pada hari ini seperti dilakukan Iraq ke atas Kuwait,” tambah beliau. -AFP


Ng Eng Hen

763 dibaca
Berita Harian X