Isnin, 11 Februari 2019 | 8:54pm
Pengawal Sempadan Bangladesh berjaya menghalang 22 etnik Rohingya daripada diseludup ke Malaysia. Foto hiasan.

Bangladesh halang 22 Rohingya lari ke Malaysia

COX’S BAZAR: Pasukan keselamatan Bangladesh berjaya menyekat usaha menyeludup 22 etnik Islam Rohingya ke Malaysia menggunakan bot.

Ia adalah kumpulan kedua yang berjaya dihalang daripada berbuat demikian dalam tempoh tiga hari.

Pasukan Pengawal Sempadan Bangladesh (BGB) dilaporkan berjaya menemui 11 wanita, kanak-kanak (10) dan seorang lelaki di sebuah kampung di kawasan pantai Teluk Bengal, berhampiran sempadan Myanmar, semalam.

“Kesemua 22 etnik Rohingya itu dikatakan sudah membayar sebanyak AS$1,200 (RM4,882) kepada penyeludup untuk mendapatkan sebuah bot kecil bagi perjalanan itu,” kata pegawai BGB.

Bagaimanapun, individu yang terbabit dengan pemerdagangan manusia itu berjaya melarikan diri sebelum pasukan keselamatan tiba di lokasi berkenaan.

Kira-kira 740,000 penduduk minoriti Islam sudah meninggalkan Myanmar menuju ke Bangladesh berikutan operasi tentera pada Ogos 2017.

“Penyeludup merampas segala barang yang dimiliki oleh pelarian terbabit,” kata Ketua BGB di Teknaf, Leftenan Kolonel Asadud Zaman Chowdhury kepada AFP.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan, sebahagian besar remaja perempuan etnik Rohingya itu akan dipaksa terbabit dalam aktiviti pelacuran.

Ia adalah insiden keempat insiden pelarian Rohingya berjaya dihalang daripada menaiki bot menuju ke Malaysia, sejak November lalu. AFP

346 dibaca
Berita Harian X