Isnin, 11 Februari 2019 | 6:03pm
Setiausaha Agung, Persatuan Perlindungan Perlembagaan, Srisuwan Janya (tengah) menyerahkan petisyen kepada Suruhanjaya Pilihan Raya supaya menyiasat parti Thai Raksa Chart, yang mencalonkan Puteri Ubolratana sebagai calon perdana menteri dalam pilihan raya pada 24 Mac ini. Foto AFP

SPR Thailand batal pencalonan Puteri Ubolratana

BANGKOK: Suruhanjaya Pilihan raya Thailand, hari ini, membatalkan kelayakan Puteri Ubolratana Rajakanya Sirivadhana Barnavadi sebagai calon perdana menteri, selepas Raja Maha Vajiralongkorn menegaskan bahawa keluarga diraja tidak wajar terbabit dalam hal ehwal politik.

Menurut senarai rasmi calon perdana menteri bagi mewakili semua parti yang bertanding, tidak tertera nama puteri berusia 67 tahun itu, yang juga kakak kepada Raja Thailand.

“Ketiadaan nama Puteri Ubolratana dalam senarai itu, kerana setiap ahli keluarga diraja perlu mematuhi peraturan sama, yang mengkehendaki mereka menjauhi aktiviti politik dan sentiasa bersikap neutral,” kata panel pilihan raya itu dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Puteri Ubolratana dilaporkan sudah menerima pencalonan yang dikemukakan oleh parti Thai Raksa Chart, yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri, Thaksin Shinawatra.

Pilihan raya Thailand dijadualkan berlangsung pada 24 Mac, iaitu yang pertama selepas rampasan kuasa oleh junta tentera.

Antara calon bagi merebut jawatan Perdana Menteri Thailand, adalah ketua junta, Prayuth Chan-o-cha. - Reuters

224 dibaca
Berita Harian X