Isnin, 11 Februari 2019 | 5:16pm
Seorang pelancong Perancis ditahan pihak berkuasa Myanmar ketika mengendalikan dron berhampiran bangunan parlimen. - Foto hiasan

Rakyat Perancis ditahan akibat dron di Myanmar

YANGON: Seorang pelancong Perancis ditahan pihak berkuasa Myanmar ketika mengendalikan dron berhampiran bangunan parlimen, kata pihak kedutaan Perancis dan polis tempatan.

Menurut polis, Arthur Desclaux, 27, cuba mengawal dron agar terbang di atas bangunan kerajaan, satu kesalahan di bawah undang-undang, Myanmar.

Desclaux bakal berdepan penjara tiga tahun jika sabit kesalahan.

Media tempatan menyiarkan gambar Descalux, termasuk pasport dan dron yang dikendalikannya.

“Dia ditahan pada lewat petang Khamis minggu lalu, kerana mengendalikan dron di ruang bangunan parlimen dan ketika ini masih berada dalam tahanan di Naypyidaw,” kata pihak kedutaan.

Kedutaan berkata, keluarga lelaki itu sudah dimaklumkan berhubung penahanannya dan kakitangan kedutaan sedang berusaha untuk membebaskannya.

Pegawai polis, Min Tin berkata, lelaki itu berdepan tuduhan di bawah seksyen 8 undang-undang eksport dan import.

Tiga orang wartawan termasuk pemandu mereka dipenjara akibat kesalahan yang sama. - AFP

180 dibaca
Berita Harian X