Isnin, 11 Februari 2019 | 5:14pm
Seorang anggota polis meletakkan seekor ular di leher suspek ketika proses soal siasat di Papua. Foto Agensi

Anggota polis guna ular ketika soal siasat kena tindakan

JAKARTA: Polis Indonesia memohon maaf dan berjanji untuk mengambil tindakan terhadap anggotanya yang meletakkan ular di leher seorang suspek, bagi memaksanya mengaku bersalah dalam satu sesi soal siasat di Papua.

Rakaman video yang tular di dalam talian menunjukkan seorang lelaki disoal siasat sedang menjerit ketakutan ketika seorang anggota polis meletakkan seekor ular berhampiran mukanya.

Beliau disiasat berhubung kes kecurian telefon bimbit, dengan tangannya diikat ke belakang.

Suspek dirakam terbaring dalam keadaan kesakitan di lantai sepanjang tempoh proses soal siasat itu dan anggota polis terbabit berulang-kali mengemukakan soalan: “Berapa kali kamu sudah mencuri telefon bimbit”.

Lelaki itu kemudiannya kedengaran menjawab: “Hanya dua kali”.

Dalam rakaman itu juga, satu suara kedengaran mengarahkan lelaki itu membuka matanya dan pada satu ketika mengugut untuk meletakkan seekor ular ke dalam mulut dan seluarnya.

Sementara itu, dalam satu kenyataan, ketua polis Jayawijaya, Tonny Ananda Swadaya mengemukakan permohonan maaf dan berkata: “Anggota penyiasat itu tidak menjalankan tugasnya secara profesional”.

Katanya, anggota polis terbabit bertindak atas inisiatif mereka sendiri dalam usaha mendapatkan pengakuan dan mendedahkan bahawa ular terbabit tidak berbisa, selain jinak.

“Kami sudah mengambil tindakan tegas terhadap anggota terbabit,” katanya. - Reuters

1172 dibaca
Berita Harian X