Isnin, 11 Februari 2019 | 8:30am
SPR Thailand akan memutuskan mengenai pencalonan puteri negara itu sebagai calon Perdana Menteri pada pilihan raya Mac ini. - Foto Reuters

SPR Thailand bakal putuskan pencalonan puteri Ubolratana

BANGKOK: Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand akan memutuskan hari ini mengenai pencalonan puteri negara itu sebagai calon Perdana Menteri pada pilihan raya Mac ini selepas adiknya, Raja Maha Vajiralongkorn, menyifatkan ia ‘tidak sesuai’ dan bertentangan dengan Perlembagaan.

Suruhanjaya itu juga akan mempertimbangkan aduan untuk mengharamkan parti yang mengejutkan rakyat dengan mencalonkan Puteri Ubolratana Rajakanya Sirivadhana Barnavadi, 67, untuk jawatan berkenaan.

Pilihan raya pada 24 Mac ini adalah yang pertama sejak rampasan kuasa tentera pada 2014.

Thailand mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan sejak 1932, tetapi keluarga diraja mempunyai pengaruh kuat dan dipuja jutaan rakyat negara itu.

Pencalonan Ubolratana minggu lalu adalah langkah mengejut dilakukan parti Thai Raksa Chart, yang ditubuhkan penyokong bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra, dan memecahkan tradisi sekian lama kedudukan anggota keluarga diraja yang mengatasi politik.

Beliau melucutkan gelaran diraja selepas berkahwin dengan rakyat Amerika Syarikat dan pernah membintangi drama bersiri dan filem aksi.

Namun dalam kenyataan yang dibacakan di semua stesen televisyen beberapa jam selepas pencalonannya, Raja Vajiralongkorn, berkata ‘tidak sesuai’ bagi anggota keluarga diraja menceburi politik.

Suruhanjaya Pilihan Raya mempunyai masa sehingga Jumaat ini untuk membuat keputusan mengenai pencalonan puteri itu. — Reuters

166 dibaca
Berita Harian X