Khamis, 31 Januari 2019 | 5:00pm

Indonesia akan cabar dasar minyak sawit EU

JAKARTA: Indonesia mahu mencabar dasar Kesatuan Eropah (EU) mengenai tenaga boleh diperbaharui di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dengan berhujah rancangan mengehadkan penggunaan tanaman yang menyebabkan pemusnahan hutan tidak adil kepada minyak sawit, menurut pegawai kanan negara itu.

Negara pengeluar minyak sawit terbesar dunia itu turut mengkaji semula hubungannya dengan EU berikutan isu terbabit dan menggesa negara Asia Tenggara lain menangguhkan rancangan untuk meningkatkan hubungan dengan EU, kata staf khas di kementerian luar Indonesia, Mahendra Siregar.

Ketetapan EU itu yang dinamakan sebagai ‘RED II’ bertujuan menghentikan penggunaan tanaman yang menyebabkan pemusnahan hutan untuk bahan bakar pengangkutan, menjelang 2030.

Banyak aktivis alam sekitar menyalahkan peningkatan meluas ladang sawit di Indonesia yang menyaksikan kawasan hutan meluas dibersihkan sehingga menjejaskan habitat harimau terancam, orang utan dan gajah.

Cabaran Indonesia terhadap dasar itu akan meningkatkan usaha melindungi jualan negara terbabit ke pasaran minyak sawit kedua terbesar dunia. Difahamkan, EU mewakili kira-kira 15 peratus keseluruhan eksport minyak sawit Indonesia yang bernilai lebih AS$15 bilion (RM61.33 bilion), tahun lalu.

Siregar berkata, minyak sawit akan dilabelkan sebagai ‘tanaman berisiko tinggi’ untuk menunjukkan potensi pemusnahan hutan akibat produk itu, ia adalah sebahagian dasar RED II yang akan diterbitkan, awal bulan depan.

Indonesia akan mencabar dasar RED II dan pelaksanaannya di badan timbang tara WTO, selepas dasar itu dilaksanakan, katanya.

Badan WTO itu boleh mengarahkan mana-mana negara ahli membatalkan sebarang sekatan perdagangan, jika mendapati dasar terbabit melanggar peraturan perdagangan bebas. - Reuters

699 dibaca
Berita Harian X