Ahad, 27 Januari 2019 | 2:55pm
Sekurang-kurangnya 17 maut dalam dua letupan bom di gereja di selatan Filipina, hari ini. - Foto EPA
Anggota tentera mencari bukti di lokasi pengeboman gereja di Jolo. - Foto EPA

Dua letupan bom di Filipina ragut 17 nyawa

MANILA: Sekurang-kurangnya 17 maut dalam dua letupan bom di gereja di selatan Filipina, kata tentera hari ini, beberapa hari selepas undian bagi wilayah autonomi baru Islam.

Letupan pertama berlaku di dalam gereja Katolik di Jolo pagi ini ketika satu perayaan dijalankan, dan diikuti dengan letupan kedua di lot letak kenderaan ketika tentera bertindak balas kepada kejadian pertama, kata jurucakap tentera wilayah, Kolonel Gerry Besana.

Gambar yang dikeluarkan polis menunjukkan serpihan berselerak berhampiran pintu masuk gereja dan sebuah trak tentera rosak dengan cermin pecah.

“Motifnya jelas, keganasan. Mereka adalah orang yang tidak mahukan keamanan,” kata Besana.


Keadaan selepas letupan bom di gereja Katholik di Jolo. - Foto AFP

Lima askar dan 12 penduduk awam terbunuh manakala 57 lagi cedera, katanya.

Bagaimanapun, ketua polis negara Oscar Albayalde berkata angka kematian 19, dengan 48 cedera.

“Kami akan menggunakan sepenuhnya kuasa undang-undang untuk membawa dalang kejadian ini ke muka pengadilan,” kata Setiausaha Pertahanan, Delfin Lorenzana.

Tentera berkata, ia memindahkan sebahagian daripada mangsa yang cedera ke bandar raya Zamboanga untuk mendapatkan rawatan. — AFP

Berita Harian X