Ahad, 6 Januari 2019 | 9:54pm
Rahaf Mohammed M Alqunun. - Ihsan Twitter

Wanita Arab Saudi bimbang dibunuh keluarga

BANGKOK: Wanita Arab Saudi yang ditahan di lapangan terbang Bangkok berkata beliau akan dibunuh jika dihantar pulang oleh pegawai imigresen Thailand, yang mengesahkan gadis 18 tahun itu dilarang memasuki negara itu hari ini.

Rahaf Mohammed M Alqunun ditahan pegawai Arab Saudi dan Kuwait apabila tiba di lapangan terbang Suvarnabhumi dan dokumen perjalanannya dirampas, dakwaan yang disokong Human Rights Watch.

“Mereka mengambil pasport saya,” katanya, menambah penjaga lelakinya melaporkan beliau melancong ‘tanpa kebenarannya’.

Rahaf berkata, beliau cuba melarikan diri daripada keluarga yang menderanya secara fizikal dan psikologi.

“Keluarga saya tegas dan mengurung saya di dalam bilik selama enam bulan kerana saya memotong rambut.

“Saya yakin 100 peratus mereka akan membunuh saya sebaik keluar dari penjara Arab Saudi,” katanya, menambah beliau akan dipenjara jika dihantar pulang.

Rahaf dihalang memasuki Thailand apabila tiba di negara itu dari Kuwait hari ini, kata ketua imigresen Thailand, Surachate Hakparn.

“Beliau tidak mempunyai dokumen lain seperti tiket kembali atau duit.

“Beliau melarikan diri untuk mengelak dikahwinkan dan bimbang berada dalam masalah jika kembali ke Arab Saudi.

“Kami sudah menghantar pegawai untuk menjaganya,” katanya, menambah Rahaf kini berada di hotel di lapangan terbang. — AFP

Berita Harian X