Rabu, 5 Disember 2018 | 11:14am
Lapangan Terbang Seletar. - Ihsan Channel NewsAsia

Singapura nafi kedaulatan Malaysia tercabar

SINGAPURA: Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan, menyifatkan pengurusan langit ‘tiada kena mengena dengan kedaulatan’, semalam selepas Malaysia menyatakan hasrat mahu menuntut semula hak mengendalikan ruang udara di selatan Johor.

Khaw berkata, ruang udara itu diamanahkan kepada pengurusan Singapura menurut perjanjian dengan negara serantau termasuk Malaysia pada 1973, dan ia diluluskan badan antarabangsa, Pertubuhan Penerbangan Sivil Antarabangsa (ICAO).

Selain itu, ia bukan keputusan ‘mudah’ untuk mengubah status quo, dan menurut proses ICAO, perlu ada alasan bagi perubahan itu seperti peningkatan keselamatan dan kecekapan, katanya kepada wartawan di Lapangan Terbang Seletar.

Khaw berkata demikian sebagai reaksi kepada rakan sejawatannya di Malaysia, Anthony Loke, yang memberitahu Parlimen semalam bahawa Malaysia berhasrat mengambil balik ruang udara di selatan Johor secara berperingkat, bermula tahun hadapan.


MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke pada sidang media berkenaan isu Sistem Instrumen Pendaratan Lapangan Terbang Seletar di Singapura di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya, semalam. - Foto BERNAMA

Langkah itu menyusul penolakan Malaysia terhadap prosedur penerbangan baru yang dicadangkan Lapangan Terbang Seletar.

Loke berkata, Malaysia sudah memaklumkan Singapura pada 29 November lalu bahawa ia mahu mengambil semula ruang udara itu secara berperingkat.

“Bukan pendirian kita untuk mengambil pendekatan konfrontasi dengan mana-mana pihak, terutama jiran.

“Namun ini membabitkan kedaulatan negara, yang akan dipertahankan kerajaan Malaysia dengan tegas,” kata Loke.

Dalam kenyataan, Kementerian Singapura membalas republik itu menghormati kedaulatan Malaysia dan pengurusan ruang udara merentasi sempadan ‘tidak bertentangan dengan kedaulatan’.

Kenyataan kementerian berkata, menurut pengurusan terkini, Singapura bertanggungjawab melakukan prosedur penerbangan di ruang udara diamanahkan, yang termasuk penerbangan keluar masuk semua lapangan terbang di republik itu. — Agensi

3108 dibaca
Berita Harian X