Khamis, 8 November 2018 | 6:12pm
PERDANA Menteri Singapura, Lee Hsien Loong. - Foto AFP

PM Singapura difitnah bakal disiasat isu 1MDB

KUALA LUMPUR: Singapura menyifatkan artikel portal berita The Coverage menuduh Perdana Menteri, Lee Hsien Loong bakal menjadi orang terbaru disiasat berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai berita palsu dan 'jelas satu fitnah.'

Suruhanjaya Tinggi Singapura di sini semalam membuat kenyataan bahawa 'artikel berkenaan adalah berita palsu dan adalah jelas satu fitnah.'

Artikel berkenaan bertajuk 'Breaking News: Singapore Lee Hsien Loong Becomes 1MDB’s Key Investigation Target - Najib Signed Several Unfair Agreements with Hsien Loong In Exchange for Money Laundering' (Berita mutakhir: Lee Hsien Loong menjadi sasaran siasatan penting 1MDB - Najib menandatangani beberapa perjanjian tidak adil dengan Hsien Loong sebagai tukaran untuk pengubahan wang haram).

Berita itu menggunakan sumber daripada blog States Times Review, lapor portal berita The Straits Times.

Bulan lalu, laman web States Times Review mengumumkan penutupannya dan pengasasnya, Alex Tan memberitahu bahawa beliau akan terus mengisi berita dalam web itu yang kini adalah 'blog peribadinya' .

Singapura adalah negara pertama mengambil tindakan undang-undang dalam isu 1MDB.

Ia telah mengenakan denda ke atas lapan bank dan mendapati bersalah empat orang berkaitan dana berkenaan sejak siasatan bermula pada 2015.

Pada September lalu, sebuah mahkamah Singapura juga mengarahkan pemulangan wang yang diseleweng dari 1MDB sebanyak S$15.3 million (RM46.3 million) kepada Malaysia.

Portal The Coverage bulan lalu turut dikecam kerana melaporkan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim menyimpan berjuta-juta dolar dalam akaun di Amerika Syarikat, Singapura, China dan Israel.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil menegaskan dakwaan berkenaan sudah lama dan adalah berita tidak berasas yang dilaporkan sejak 2003. - AGENSI

1540 dibaca
Berita Harian X