Selasa, 30 Oktober 2018 | 12:52pm
Penduduk Filipina membuat persiapan awal menghadapi Taufan Yutu yang akan melanda di kampung pesisir di bandar Baler, wilayah Aurura, Filipina. - Foto EPA

Taufan Yutu badai Filipina

MANILA: Taufan Yutu yang memusnahkan sebahagian daripada kawasan kepulauan Pasifik Barat sebelum ini mula melanda Filipina hari ini membawa bersama angin kuat dan hujan yang dijangka menyebabkan banjir serta tanah runtuh di kawasan wilayah utara negara itu.

Perkhidmatan Atmosfera, Geofizik dan Astronomi Filipina (PAGASA) berkata dalam laporan 8 pagi tadi, taufan itu membawa bersama angin selaju 140 kilometer sejam dan ribut sehingga 230 kilometer sejam.

Agensi itu berkata, Taufan Yutu bakal merentas pulau Luzon dan dijangka meninggalkan pulau itu menjelas lewat petang hari ini.

Yutu yang dikenali sebagai Rosita oleh penduduk tempatan, adalah taufan ke-18 melanda Filipina tahun ini, enam minggu selepas taufan Mangkhut yang membawa hujan lebat ke seluruh Luzon, menyebabkan tanah runtuh hingga mengorbankan 70 orang.

Setakat ini tidak ada sebarang laporan kerosakan atau kematian. Rakaman televisyen tempatan menunjukkan angin kencang, hujan dan pokok condong.

Penduduk yang tinggal di sekitar gunung dan kawasan pesisir pantai turut dipindahkan daripada kediaman masing-masing selepas amaran kemungkinan berlakunya tanah runtuh dikeluarkan dan gelombang dijangka mencecah setinggi 3 meter.

Jurucakap kementerian pertahanan, Edgar Posadas berkata, pasukan penyelamat sudah bersiap sedia untuk membantu usaha menyelamat. - Reuters

Berita Harian X