Khamis, 25 Oktober 2018 | 9:06pm
- Foto amnesty.org

Amnesty rayu Singapura pertimbang hukum mati pesalah dadah

SINGAPURA: Republik ini bakal menghukum mati dua pengedar dadah esok selepas menjalankan hukuman sama terhadap seorang pesalah semalam atas kesalahan sama di tengah gesaan baharu buat negara kaya itu supaya memansuhkan hukuman mati.

Kumpulan hak asasi manusia, Amnesty Intertional menggesa negara itu mengikuti jejak langkah negara jirannya Malaysia sekali gus menghapuskan hukuman mati.

“Pihak berkuasa Singapura perlu menghentikan hukuman mati ke atas Prabu N Pathmanathan, 31, rakyat Malaysia dan seorang lagi lelaki lain yang namanya tidak didedahkan.

“Berita mengenai rancangan pelaksanaan hukuman mati ini susulan hukuman sama ke atas lelaki lain hari ini (Rabu) dan tiga lelaki pada 5 Oktober lalu, juga berkaitan kesalahan dadah,” kata Amnesty International dalam satu kenyataan semalam.

Pathmanathan disabitkan menyeludup dadah dari Malaysia ke republik itu pada 2014, menurut dokumen mahkamah.

Kabinet baharu Malaysia, yang mengambil alih kuasa Mei lalu berkata bulan ini, ia akan memansuhkan hukuman mati menjelang akhir tahun.

“Saya akan mengeluarkan sepucuk surat kepada kerajaan Singapura menggesa mereka memberi Prabu satu peluang,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Liew Vui Keong kepada media semalam.

Singapura memiliki undang-undang anti-dadah paling tegas di dunia dan borang kastam memberi amaran pelancong yang tiba mengenai ‘hukuman mati terhadap pengedar dadah’ tanpa syarat.

Amnesty International berkata, 15 negara memiliki undang-undang untuk menghukum mati pesalah dadah.

“Namun Amnesty International merekodkan hukuman mati untuk kesalahan berkaitan dadah hanya di empat negara iaitu, China, Iran, Arab Saudi dan Singapura,” katanya. -Reuters

Berita Harian X