Selasa, 9 Oktober 2018 | 4:26pm
SUKARELAWAN memakai kostum watak dari kartun Winnie the Pooh. - Foto AFP

Winnie the Pooh hibur kanak-kanak Palu

PALU: Penderitaan kanak-kanak yang terselamat akibat gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah di sini sedikit terubat apabila mereka dihiburkan oleh sukarelawan yang memakai kostum watak dari kartun Winnie the Pooh.

Selain memakai kostum, sukarelawan menyanyikan lagu dan menyediakan permainan bagi menghiburkan kanak-kanak yang terjejas akibat bencana alam semula jadi itu.

Gempa bumi dan tsunami berlaku pada 28 September lalu menyebabkan 2,000 orang terkorban selain ribuan orang dipercayai masih tertimbus di bawah runtuhan.

Tragedi yang dianggap paling menyedihkan itu menyebabkan sekurang-kurangnya 180,000 kanak-kanak masih trauma akibat bencana dahsyat itu.

Seorang sukarelawan, Erna tampil dengan menawarkan hiburan untuk mengurangkan penderitaan yang terpaksa dilalui kanak-kanak terbabit.

Justeru, beliau dan kawan-kawannya bertindak nekad apabila memandu kereta selama tiga jam menuju ke Palu dengan membawa kostum Winnie the Pooh dan prop lain demi tujuan murni itu.

“Saya sangat kasihan kepada kanak-kanak ini dan tidak mahu mereka mengalami trauma,” kata Erna memberitahu AFP.

Sementara itu, pekerja bantuan di tempat kejadian berkata ramai kanak-kanak masih terkejut dan tertekan akibat bencana dahsyat itu.- AFP.

11 dibaca
Berita Harian X