Selasa, 9 Oktober 2018 | 9:16am
MANGSA terselamat akibat gempa bumi dan tsunami mula pulang ke rumah masing-masing. - Foto AFP

Mangsa terselamat kembali ke rumah

JAKARTA: Mangsa terselamat akibat gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah bulan lalu mula pulang ke rumah masing-masing, kata Agensi Pencegahan Bencana Nasional (BNPB) kelmarin.

Selepas mencapai kemuncak 70,821 minggu lalu, jumlah mangsa yang hilang tempat tinggal menurun kepada 62,359 orang di 147 lokasi di seluruh wilayah berkenaan.

“Mangsa terselamat tidak boleh tinggal untuk tempoh amat lama dalam kem sementara kerana kanak-kanak perlu bersekolah,” kata jurucakap BNPB, Sutopo Purwo Nugroho dalam sidang media kelmarin dilaporkan Jakarta Post, menambah sekolah kecemasan akan didirikan menggunakan khemah.

Lebih 2,500 sekolah di Palu, Donggala dan Sigi rosak akibat bencana itu. Bagaimanapun kanak-kanak di Palu mula kembali ke sekolah semalam untuk mengemas bilik kelas dan berharap berjumpa rakan, 11 hari selepas gempa bumi kuat dan tsunami di wilayah itu.

Angka kematian rasmi kini meningkat kepada 1,948 orang dan mayat masih ditemui. Tiada siapa tahu berapa ramai yang hilang terutama kawasan terjejas akibat pencecairan, namun ia mungkin mencecah 5,000 orang, kata agensi berkenaan.

Sutopo juga berkata, lebih 8,000 penduduk meninggalkan Palu menerusi pengangkutan udara dan air ke Makassar, Sulawesi Selatan; Balikpapan, Kalimantan Timur; Jakarta dan Manado di Sulawesi Utara.

“Ada penduduk yang mahu meninggalkan Palu seketika untuk tinggal di rumah saudara mara di bandar tertentu, disebabkan mereka masih trauma dengan kejadian gempa serta bergelut memenuhi keperluan harian.

“Mereka dibantu kerajaan meninggalkan Palu menerusi jalan udara dan laut,” katanya.

Beliau menambah, sesetengah mangsa juga meninggalkan Palu menggunakan kenderaan sendiri, namun jumlahnya sukar untuk dipastikan. -Agensi

43 dibaca
Berita Harian X