Khamis, 4 Oktober 2018 | 2:33pm
KANAK-KANAK lelaki, Taufikurahman, 7, memegang bola plastik di celah runtuhan rumah akibat tsunami di Donggala, Sulawesi Tengah, Indonesia. - Foto EPA

Kanak-kanak terpisah daripada keluarga terkejut, trauma

PALU: Ramai kanak-kanak terpisah daripada keluarga dan ‘dalam keadaan terkejut dan trauma’ susulan gempa bumi dahsyat dan tsunami di bandar terletak di Sulawesi Tengah di sini, kata pekerja bantuan hari ini, ketika bekalan amat diperlukan mula tiba.

Sejumlah 1,411 disahkan maut dan lebih 2,500 cedera selepas gempa bumi magnitud 7.5 mencetuskan tsunami membinasakan bandar itu.

Bencana itu menyebabkan bangunan menjadi rata di bandar tepi pantai di sini, dengan hubungan pengangkutan teruk terjejas, bantuan lambat tiba serta penjarahan di merata-rata tempat.

Walaupun penyelamat terus menggali runtuhan bangunan musnah, harapan pudar untuk menemui sesiapa masih hidup di bawah runtuhan. Pihak berkuasa berkata, lebih 100 orang masih hilang.

Ketika pihak berkuasa bergelut menangani keperluan asas mangsa terselamat dan kumpulan bantuan asing bergegas sampai ke zon bencana, perhatian terarah terhadap sejumlah besar kanak-kanak ditinggalkan yatim piatu atau terpisah daripada keluarga.

Pertubuhan Save the Children berkata, ramai golongan muda tidur di jalanan di antara runtuhan di sini dengan pihak berkuasa terdesak mengenal pasti dan menyatukan mereka dengan saudara.

“Agak sukar membayangkan situasi lebih menakutkan buat seorang kanak-kanak. Ramai kanak-kanak terkejut dan trauma, bersendirian dan ketakutan. Kanak-kanak mentah mencari saudara mara masih hidup terpaksa menjadi saksi dan hidup dengan pengalaman menakutkan yang tidak seharusnya mereka lihat,” kata penasihat perlindungan kanak-kanak kumpulan itu, Zubedy Koteng.

Seorang pegawai kanan tentera yang meneliti logistik di kawasan itu, Ida Dewa Agung Hadisaputra menegaskan, sesetengah bantuan sudah tiba.

Palang Merah berkata, ia menghantar tiga kapal dipenuhi bekalan termasuk dapur lapangan, khemah, beg mayat dan kelambu, sementara kerajaan dari Singapura sehingga Britain memberi jaminan bantuan. -AFP

16 dibaca
Berita Harian X