Rabu, 3 Oktober 2018 | 9:51am
Penduduk berkumpul sementara mereka menunggu pasukan penyelamat Indonesia mencari mangsa yang selamat di bangunan runtuh di Palu, Sulawesi Tengah, Indonesia. - Foto AFP

Mangsa, penyelamat perlu bantuan segera, angka korban 1,374

PALU: Hampir 1,400 penduduk terbunuh dalam bencana gempa bumi disusuli tsunami di pulau Sulawesi, dengan pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran mangsa terselamat dan pasukan penyelamat memerlukan bantuan besar-besaran.

Hampir 200,000 orang memerlukan bantuan segera, kata pegawai kemanusiaan PBB, antara mereka ialah puluhan ribu kanak-kanak, dengan anggaran 66,000 rumah musnah atau rosak susulan gempa bumi berukuran 7.5 dan tsunami yang dicetuskan gegaran itu.

Mangsa terselamat bergelut dengan dahaga dan kelaparan, dengan kekurangan bekalan makanan dan air bersih, dan hospital tempatan dipenuhi penduduk yang cedera.

“Satu yang dirasakan pasukan yang bekerja di situ adalah amat kecewa.

“Penyelamat masih tidak dapat sampai ke kawasan besar yang teruk terjejas dan mereka terus berusaha, melakukan apa yang terdaya,” kata jurucakap pejabat kemanusiaan badan dunia itu, Jens Laerke, kepada wartawan di Geneva lewat semalam.


Pasukan penyelamat Indonesia mencari mangsa bencana gempa bumi dan tsunami di bawah runtuhan rumah di penduduk Balaroa di Palu, Sulawesi Tengah, Indonesia. - Foto EPA

Di Palu yang paling teruk dilanda bencana itu, menyaksikan penduduk, kereta dan rumah dihanyutkan, polis melepaskan tembakan amaran dan gas pemedih mata semalam untuk menghalang orang ramai menggeledah kedai.

Ketika mangsa terselamat diselamatkan daripada kawasan kejiranan yang musnah, mereka menemui lebih banyak mayat.

“Angka kematian kini 1,374, dengan 113 lagi hilang.

“Masih ada mayat terperangkap di bawah runtuhan. Kami tidak tahu berapa banyak.

“Keutamaan adalah mencari dan menyelamatkan penduduk,” kata ketua agensi bencana kebangsaan Indonesia, Willem Rampangilei.

Pihak berkuasa menjangkakan angka kematian akan terus meningkat ketika penyelamat berjaya menghubungi kawasan yang terputus sebelum ini.

Pusat Penyelamatan Bantuan Kemanusiaan ASEAN yang beribu pejabat di Indonesia berkata, lebih banyak beg mayat diperlukan segera ketika kebimbangan memuncak mayat yang mula reput akan menjadi tempat merebak penyakit bahaya. — AFP

Berita Harian X