Isnin, 24 September 2018 | 3:50pm

Pengharaman minyak sawit EU jejas pendapatan pekebun kecil

LANGKAT/ IJOK: Petani kelapa sawit Indonesia, Kawal Surbakti berkata, mata pencarian beliau terancam, namun ia bukan daripada serangga atau orang utan lapar.

Parlimen Eropah kini sedang mengharamkan penggunaan minyak sawit untuk minyak bio atau ‘biofuel’, sementara rangkaian runcit British, Iceland sudah mengumumkan bahawa ia akan menghentikan penggunaan komoditi itu.

Katanya, penggunaan minyak sawit menyebabkan kemusnahan alam sekitar meluas.

Kehilangan pasaran penting Eropah membimbangkan petani kecil seperti Surbakti dan jutaan yang lain di Indonesia dan negara jiran Malaysia. Kedua-dua negara ini adalah pengeluar utama dunia

Ia dijangka menyebabkan harga minyak, yang ditemui dalam hampir semua objek dari biskut, gula-gula, kosmetik sehingga ke tangki minyak kenderaan, susut.

“Saya sudah rugi teruk. Sebelum ini, saya boleh menyimpan sedikit wang, namun sekarang tidak,” kata Surbakti, 64, yang memiliki ladang sawit dua hektar di pulau Sumatera, Indonesia.

Begitu juga di Malaysia, peladang Mohamad Isa Mansor melakukan jangkaan teruk, ketika beliau memetik buah berwarna merah dan oren itu dari pokoknya.

“Jika Kesatuan Eropah (EU) berjaya dalam pengharaman ini, saya habis. Tanpa tanaman ini, kami akan hidup dalam kemiskinan. Ia sumber pendapatan ribuan penduduk di sini,” katanya ketika di kebun sawit kecil di Ijok.

Eropah adalah pengguna minyak sawit terbesar di dunia. Kira-kira separuh minyak sawit yang digunakan Eropah, tahun lalu di adalah untuk minyak bio kenderaan, menurut aktivis alam sekitar.

Indonesia dan Malaysia mengancam sekatan balas terhadap produk Eropah berhubung pengharaman minyak sawit yang bakal menyaksikan komoditi itu langsung tidak digunakan untuk minyak bio menjelang 2030.

Undang-undang itu kini menunggu pengundian akhir dan kelulusan negara ahli EU. - AFP

94 dibaca
Berita Harian X