Isnin, 4 Jun 2018 | 1:00pm
FOTO hiasan.

6 pelombong haram maut di Indonesia

JAKARTA: Lima pelombong haram di wilayah Sulawesi Utara, Indonesia maut selepas lombong yang digali runtuh, menyebabkan mereka tertimbus ketika hujan lebat tengah hari semalam, kata Agensi Pencegahan Bencana Indonesia (BNPB).

Menurut BNPB, kelima-lima mayat pelombong kesemuanya penduduk perkampungan Bakan terletak berhampiran, ditemui kira-kira jam 7 malam.

BNPB dalam kenyataan hari ini berkata, pelombong keenam yang tertimbus dalam kejadian itu tidak termasuk dalam jumlah mangsa ketika usaha mencari diteruskan pagi ini.

Katanya, lombong berhampiran perkampungan Bakan itu adalah kawasan berbukit dan curam serta kerap berlaku tanah runtuh.

"Mereka masih meneruskan kerja melombong walaupun hujan lebat," kata agensi itu.

Bakan adalah pusat lombong emas yang diusahakan syarikat PT J Resources Asia Pasifik yang memulakan pengeluaran pada 2013.

Kebanyakan penduduk yang tinggal berhampiran tapak lombong percaya mereka juga mempunyai hak untuk menggali mineral berharga itu.

Walaupun kerajaan pusat mengharamkan pelombongan berskala kecil, pegawai tempatan dan polis kerap berdiam diri atau menutup mata terhadap tindakan penduduk.

Lombong itu memberi sumber pendapatan kepada ribuan keluarga miskin tetapi ia menjadi ancaman utama terhadap kesihatan dan alam sekitar. -Reuters

Berita Harian X