Rabu, 28 March 2018 | 10:13pm
DAVID Beckham menghadiri acara amal syarikat insurans untuk menggalakkan dan membantu pemain bola sepak Indonesia di seluruh negara di Jakarta, Indonesia. - Foto REUTERS

Beckham bantu tangani buli di Indonesia

LONDON: Legenda bola sepak dunia, David Beckham, mengunjung Indonesia bagi memantau perkembangan badan kebajikan diasaskannya, 7 Fund, memerangi kes buli di negara yang menyaksikan satu dalam tiga pelajar diserang secara fizikal di sekolah.

Bekas ketua pasukan boleh sepak England itu melancarkan dana untuk melindungi remaja paling lemah dunia pada 2015 dengan agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

"Saya amat bangga melihat bagaimana 7 Fund membantu UNICEF menangani kes buli dan keganasan di sekolah di Indonesia, dan terutama memastikan kanak-kanak, terutama perempuan, selamat di sekolah supaya mereka boleh meneruskan pendidikan," katanya.

Buli dan keganasan adalah antara kebimbangan terbesar bagi remaja di Indonesia, dengan lebih satu dalam setiap lima golongan itu yang berusia 13 hingga 15 tahun atau 18 juta pelajar, menghadapinya, membawa kepada masalah kesihatan mental dan keciciran sekolah, kata UNICEF.

7 Fund mengajar kanak-kanak yang pernah dibuli dan bekas pembuli supaya mendidik orang lain dan melatih guru supaya memastikan kanak-kanak selamat.

Kes buli berkurangan hampir satu pertiga dalam kalangan 7,000 kanak-kanak yang mengambil bahagian dalam program awal.

"Saya menghabiskan masa dengan seorang gadis menakjubkan, Sripun, yang diundi rakan sebayanya untuk mengambil bahagian dalam program antibuli untuk membantu menghentikan keganasan di sekolah.

"Ini meningkatkan keyakinannya dan beliau berharap pelajar lain tidak menghadapi pengalaman dibuli seperti dialaminya," kata Beckham.

Dana itu, yang dinamakan sempena nombor bertuah yang dipakainya ketika mewakili England dan Manchester United, memberi tumpuan kepada kanak-kanak yang berisiko berhadapan keganasan, penderaan dan penyakit.

Beckham, bapa kepada empat anak, berkata beliau berharap anaknya akan berbangga dengan 7 Fund, yang juga mempunyai projek di Indonesia, Nepal, Uganda dan El Salvador. - Reuters

16 dibaca
Berita Harian X