Rabu, 20 September 2017 | 8:50pm

Dituduh tukar tag bagasi

SINGAPURA: Pengendali bagasi Singapura dituduh berkelakuan jahat kerana didakwa menukar tag ratusan beg pakaian di lapangan terbang bandar raya itu, menyebabkannya dihantar ke destinasi salah.

Tay Boon Keh, 63, berdepan hukuman penjara jika didapati bersalah menukar tag 286 beg di Lapangan Terbang Changi, antara hab paling sibuk di dunia dan kerap diundi sebagai lapangan terbang terbaik dunia.

Boon Keh yang hadir di mahkamah semalam, berdepan 286 tuduhan berkelakuan jahat.

Bagasi yang sepatutnya dihantar ke pelbagai bandar raya di dunia termasuk Perth, Manila, Frankfurt, London dan San Francisco terjejas, menurut dokumen mahkamah.

Pendakwaan menyebut, warga emas itu menyedari kemungkinan menyebabkan kerugian kepada pengendali lapangan terbang Singapura.

Motifnya tidak diketahui dan tidak dinyatakan dalam pendakwaan.

Changi mengendalikan hampir 59 juta penumpang setiap tahun.

Pengendali lapangan terbang memberitahu akhbar Straits Times ia adalah kes terpencil.

"Kami meningkatkan kawalan akses selain liputan kamera litar keselamatan di bahagian pengendalian bagasi.

"Rondaan juga dipertingkatkan," kata jurucakap lapangan terbang. - AFP

Berita Harian X