Khamis, 19 November 2015 | 8:02pm

ASEAN perlu pastikan keselamatan maklumat kritikal - Najib


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menegaskan semua anggota ASEAN perlu memastikan keselamatan prasarana maklumat kritikal mereka dan saling bekerjasama bagi meneutralkan dan menundukkan ancaman jenayah siber.

Beliau berkata, jenayah siber bukan sekadar mengancam ekonomi tetapi juga aspek ketenteraan dan masyarakat. Justeru, ASEAN tidak boleh bersikap sambil lewa terhadap isu ini.

"Penjenayah siber tidak peduli akan sempadan negara, justeru amat penting bagi negara anggota ASEAN bertindak balas terhadap tindakan mereka - malah niat mereka - secara bersama-sama," kata Najib dalam jawapan bertulis kepada soalan-soalan yang dikemukakan oleh BERNAMA bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan, hari ini.

Berdasarkan laporan Intel Security dan Center for Strategic and International Studies pada 2014, jenayah siber menyebabkan ekonomi global kerugian AS$575 bilion setahun, bersamaan 0.8 peratus daripada ekonomi global.

Najib berkata, ini menunjukkan jenayah siber adalah ancaman yang semakin meningkat kepada negara, syarikat dan juga individu di seluruh dunia.

"Saya pernah memberi amaran tentang perkara ini dahulu dan (saya) percaya kesedaran semakin meningkat dalam kalangan ASEAN bahawa kita perlu mengambil langkah meneutralkan ancaman ini. Saya yakin kita menuju ke arah yang betul," katanya.

Sebagai langkah pertama, Pelan Induk ICT ASEAN 2015 memberi penekanan khusus berhubung menggalakkan integriti rangkaian dan keselamatan maklumat yang akan menyumbang kepada keseluruhan keadaan kesediaan keselamatan siber dalam kalangan negara anggota.

Dalam satu pemukiman baru-baru ini, Menteri-menteri Pertahanan ASEAN mempertimbangkan penubuhan Kumpulan Kerja Pakar dalam format Campur mengenai keselamatan siber selepas masing-masing berkongsi kebimbangan berhubung peningkatan ancaman jenayah siber.

- BERNAMA

11 dibaca
Berita Harian X